KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) sudah menyiapkan draf cadangan bagi meminda beberapa artikel penting dalam statut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang Kongres Luar Biasa (EGM) di Petaling Jaya, Khamis ini.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, cadangan perubahan tersebut dibuat selepas melakukan kerjasama rapat dengan badan induk bola sepak negara itu bagi meningkatkan standard pengurusan ke tahap lebih tinggi.
Menurut Windsor, pihak AFC telah menjalankan audit pengurusan kualiti serta semakan menyeluruh terhadap statut FAM sepanjang dua bulan lalu sebelum mengemukakan cadangan penambahbaikan tersebut.
“AFC bekerja keras sepanjang bulan lalu dengan melakukan audit pengurusan kualiti dan semakan statut. Sebanyak 94 artikel dalam draf statut baharu perlu dibentangkan dan diluluskan dalam kongres.
“Cadangan ini datang daripada AFC dan FIFA bagi meningkatkan tadbir urus FAM supaya kita dapat mencapai penanda aras baharu setanding persatuan bola sepak negara-negara maju di Asia,” katanya.
Mengulas lanjut, Windsor turut mengesahkan antara perubahan paling besar adalah jumlah pencalonan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) pada kongres pemilihan akan datang dikurangkan termasuk jawatan presiden.
“Turut dicadangkan adalah pindaan terhadap Artikel 31 dan Artikel 38 yang melibatkan proses pencalonan jawatan kepimpinan FAM. Selepas ini jawatan presiden perlukan empat pencalonan, naib presiden (tiga pencalonan), Exco (2 pencalonan).
“Selain itu, setiap calon juga perlu memiliki pengalaman dalam arena bola sepak lima tahun berturut-turut sebelum layak untuk dicalonkan,” katanya.
Sementara itu, Windsor mengakui segala keputusan terletak di tangan perwakilan Ahli Gabungan FAM termasuk boleh menolak cadangan AFC pada EGM nanti, tetapi perlu sediakan alasan berasas.
Selain itu, Windsor turut mengesahkan laporan audit penuh yang dijalankan ke atas FAM sejak awal tahun ini akan diumumkan pada EGM nanti.

15 hours ago
7









![[VIDEO] Jeti Pangkor sesak, ‘berkicap’ tunggu feri nak balik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-02-at-2.56.05-PM-e1780384202682.jpeg)


![[VIDEO] ‘6 jam selesai imigresen, taubat tak nak masuk Thailand cuti umum’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-02-at-1.02.23-PM.jpeg)




























