Abd Mutalip keluar UMNO sertai Bersatu

5 hours ago 2

MUAR – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar daripada UMNO, berkuat kuasa hari ini.

Susulan itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor itu turut mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, keputusan berkenaan dibuat secara sukarela tanpa dipengaruhi mana-mana pihak serta atas pertimbangan peribadi dan perjuangan politiknya.

“Keputusan tersebut dibuat dengan penuh rasa rendah diri selain menyifatkannya sebagai satu penghijrahan politik demi meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

“Saya mengumumkan keluar daripada Parti UMNO bermula saat ini untuk menyertai Parti Bersatu di bawah Perikatan Nasional,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini hari ini.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri Layang-Layang selama dua penggal turut memaklumkan akan bertanding semula di kerusi N27 Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Abd Mutalip sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Johor pada penggal pertama pentadbiran Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Besar Johor.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO yang pernah bersama-sama dengannya sepanjang perjalanan politik sebelum ini.

Katanya, keputusan meninggalkan UMNO bukan dibuat atas dasar perasaan marah atau kecewa terhadap mana-mana individu dalam parti tersebut.

“Tidak ada paksaan, tidak ada rasa benci. Kami tetap kawan. Lawan tetap kawan kerana bagi saya parti hanyalah platform untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai keputusannya untuk kembali bertanding, Abd Mutalip mengakui pada mulanya tidak berhasrat untuk menjadi calon pada PRN kali ini.

Bagaimanapun katanya, dorongan daripada pengundi khususnya di kawasan Layang-Layang menyebabkan beliau mempertimbangkan semula pendiriannya untuk terus berada di pentas politik.

Beliau berkata, sokongan serta harapan rakyat di kawasan berkenaan menjadi antara faktor yang mendorong dirinya untuk sekali lagi menawarkan khidmat sebagai wakil rakyat di DUN Layang-Layang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |