PETALING JAYA – Perkongsian seorang wanita mengenai kambing peliharaan kesayangan keluarganya yang dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha lima tahun lalu mengundang sebak dalam kalangan orang ramai.
Menerusi hantaran di akaun @Akyelrahim, wanita itu berkongsi kisah seekor kambing diberi nama ‘Embek’ yang dipelihara bapanya sejak kecil dan dianggap seperti ahli keluarga sendiri.
Menurutnya, Embek bukan sahaja jinak dan manja, malah menjadi haiwan kesayangan seluruh keluarga termasuk bapanya sendiri.
Wanita itu berkata, dia sangat rapat dengan kambing tersebut sehingga sanggup meluangkan masa seharian bermain dan memeluk Embek setiap kali pulang ke kampung.
Bagaimanapun katanya, seminggu sebelum Aidiladha pada tahun 2021, dia dikejutkan dengan keputusan bapanya untuk menjadikan Embek sebagai haiwan korban.
“Saya marah, tak puas hati. Saya sedih. Saya fikir abah takkan korbankan Embek sebab dia sayang sangat.
“Tapi mak cakap Embek dah tua. Kalau dibiarkan lebih lama, nanti mati macam itu saja. Eloklah dibuat korban,” ujarnya.
Menurut wanita itu, sehari sebelum disembelih, dia menghabiskan hampir seluruh hari bersama Embek di kandang sambil memeluk haiwan tersebut buat kali terakhir.
“Masa subuh sebelum Embek tak ada, saya panjat kandang dengan lampu telefon. Saya usap dan peluk dia lama-lama.
“Masa itu saya dah menangis teresak-esak. Embek pula duduk diam pandang saya macam biasa,” katanya.
Tambahnya, dia tidak sanggup melihat proses penyembelihan dilakukan dan hanya membantu memasak di dapur bersama adik-beradiknya.
“Sambil masak sambil menangis. Adik-adik lelaki saya pun menangis sekali. Kami bertiga menyorok dekat dapur sebab malu orang nampak,” katanya.
Wanita itu berkata, suasana rumah mereka bertambah pilu apabila adiknya masuk ke rumah sambil menangis sebelum memaklumkan Embek sudah tiada.
Lebih menyentuh hati katanya, bapanya yang kelihatan tenang rupa-rupanya turut menyembunyikan kesedihan apabila mengasingkan diri selepas proses korban selesai.
“Adik saya kata masa orang sembelih, abah pergi tempat lain sebab tak sanggup tengok.
“Petang baru abah balik nak tanam kepala Embek. Masa itu saya dengar suara abah bergetar sebut nama manja Embek iaitu ‘Jantan’,” katanya.
Menurut wanita itu, peristiwa tersebut membuatkan dia akhirnya memahami makna sebenar pengorbanan dalam Islam.
“Masa itu baru saya faham erti korban sebenar. Nabi Ibrahim sanggup korbankan Nabi Ismail, anak yang paling disayangi.
“Dan abah pula korbankan ternakan yang paling dia sayang,” katanya.
Sementara itu, di ruangan komen, ramai mengakui tersentuh membaca kisah kambing kesayangan wanita tersebut selain menyifatkan ia mengingatkan mereka tentang erti sebenar pengorbanan sempena Aidiladha.
“Sampai hati akak, pertama kali saya menangis sebab kisah kambing,” komen @Dinnaz_.
“Kak.. pagi-pagi saya nangis kak mengenangkan embek akak ni,” komen Norul. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
6












































