95 peratus kebun durian berskala besar bukan diusahakan oleh bumiputera

20 hours ago 6

KOTA BHARU – Dianggarkan kira-kira 95 peratus pengusaha kebun durian berskala besar yang menjalankan perniagaan mengeksport buah-buahan tersebut ke luar negara terutamanya China terdiri daripada golongan bukan bumiputera.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kebanyakan tanaman tradisional orang Melayu itu diusahakan oleh masyarakat Cina yang menjadikan kawasan seperti di Lojing, Gua Musang dan Balik Pulau sebagai lokasi penanaman.

Menurutnya, kebanyakan pengusaha durian musang king dan duri hitam atau black thorn mampu menjual buah tersebut pada harga RM200 malah nilai eksportnya ke China juga tinggi.

“Nilai eksport bagi buah durian mencecah lebih RM1 bilion sejak tahun lalu. Kenaikan itu dilihat sangat cepat dan mendadak apabila permintaan terhadap durian dari negara ini mendapat sambutan.

“Selain itu, nilai perniagaan durian dijangka melebihi dolar Amerika Syarikat (AS) 16 bilion menjelang 2030. Ini kerana, ada orang luar di peringkat antarabangsa tidak makan durian, tetapi memilih produk berasaskan buah tersebut seperti yang ada di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu,”katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bank Bergerak dan Kampung Angkat Madani di Kampung Pantai Mek Mas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, sehubungan itu, persaingan untuk mengusahakan tanaman durian masih terbuka kerana golongan bumiputera memiliki tanah.

Menurutnya, kebanyakan bumiputera di kawasan kampung mengusahakan tanaman durian untuk ahli keluarga sekali gus tidak melibatkan nilai komersial yang besar.

“Justeru, pekebun boleh terlibat untuk mengusahakan tanaman yg mendatangkan pulangan seperti durian dan nanas. Terbaharu, avokado yang ditanam di Sabah mampu mengalahkan hasil dari luar negara.

“Durian dari Malaysia sememangnya nombor satu di peringkat antarabangsa kerana faktor kesuburan dan kesesuaian tanah di sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |