KUALA LUMPUR – Seramai 63 individu maut akibat kemalangan ketika melakukan aktiviti pendakian di seluruh negara dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025, melibatkan keseluruhan 1,059 kes.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, statistik tersebut diperoleh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Beliau berkata bagi rekod kecederaan pula, sebanyak 87 kes dilaporkan.
“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia memandang serius aspek keselamatan rekreasi hutan dan aktiviti pendakian di seluruh negara.
“Bagi memastikan aktiviti rekreasi di Hutan Simpanan Kekal (HSK) diurus secara sistematik, JPSM dengan sokongan pembiayaan daripada United Nations Development Programme (UNDP) telah membangunkan Garis Panduan Kebangsaan Penilaian dan Pengurusan Risiko Gunung (Mountain Risk Assessment and Management Guideline – MoGRAM).
“Ia sebagai rujukan teknikal mitigasi risiko dan pengurusan kapasiti laluan pendakian,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta kementerian menyatakan jumlah kemalangan dan kematian akibat aktiviti pendakian dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini serta usaha mewujudkan piawaian keselamatan nasional bagi semua laluan pendakian di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, JPSM turut mewajibkan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) di 189 kawasan pendakian berisiko tinggi bagi membantu aspek keselamatan, tindak balas kecemasan dan memastikan pendaki mematuhi amalan pendakian yang selamat.
“Sehingga kini, seramai 2,322 orang daripada komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli telah ditauliahkan sebagai MGP melalui Program Pembangunan Kemahiran MGP.
“MGP berperanan sebagai jurupandu arah bertauliah yang turut menyokong aspek keselamatan pendaki, tindak balas kecemasan serta pematuhan kepada amalan pendakian,” katanya.
Beliau berkata, kawasan perlindungan di bawah seliaan Perhilitan pula memberi tumpuan kepada pelaksanaan standard antarabangsa ISO 21101:2014 – Adventure Tourism Safety Management System (ATSMS) bagi memperkukuh mekanisme pengurusan risiko.
“Piawaian ini digunakan untuk menstrukturkan mekanisme pengurusan risiko, tahap kecekapan kakitangan, prosedur tindakan kecemasan serta penyelenggaraan peralatan dan fasiliti.
“Langkah ini disokong dengan penguatkuasaan prosedur kualiti pendaftaran dan permit masuk di pejabat Taman Negara bagi tujuan rekod keselamatan serta kawalan had tampung aktiviti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
9















































