5 penyamun cuba pecah masuk rumah di Taman Jasmin diburu

7 hours ago 3

KAJANG – Polis sedang giat mengesan sekurang-kurangnya lima individu yang disyaki terlibat dalam kes cubaan pecah masuk sebuah rumah di Taman Jasmin, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki berusia 66 tahun kira-kira pukul 10.10 malam.

Menurut Naazron, kejadian pada pukul 8.30 malam itu disedari jiran pengadu yang memaklumkan kepadanya terdapat beberapa individu tidak dikenali sedang berlegar-legar di belakang rumah.

“Hasil pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati, terdapat lebih kurang lima individu dipercayai lelaki dengan memakai pakaian serba hitam.

“Mereka datang dari arah jalan hutan sebelum memanjat tembok pagar dan cuba memasuki bahagian belakang rumah pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, siasatan mendapati tiada barang yang hilang di dalam rumah, namun terdapat kerosakan pada pintu dan tingkap bahagian belakang rumah pengadu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Sarjan Mohd. Khairul Hafi Abd Ghani di talian 018-4027665 bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan penduduk di Taman Jasmin, di sini, resah apabila sekumpulan individu dikesan berkeliaran di kawasan perumahan, dipercayai cuba menceroboh beberapa buah rumah.

Seorang wanita dikenali Fazirakama dilaporkan berkata, dia menerima notifikasi mencurigakan daripada rakaman CCTV rumahnya yang pernah dipecah masuk sebelum ini.

“Semalam malam paling menakutkan. Ada sekumpulan pencuri lalu belakang rumah. Mujur kami cepat ‘alert’ dan jiran-jiran terus bantu.

“Ramai kali ini datang. Saya selalu dapat notifikasi bila musang lalu, tapi kali ini ‘bapa musang’ dan kawan-kawan dia pula datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |