40 belia asnaf Perak terpilih belajar ilmu penerbangan

14 hours ago 7

IPOH – Seramai 40 belia asnaf di negeri ini terpilih untuk mengikuti latihan intensif selama tiga bulan dalam bidang penerbangan di Aviation Malaysia Knowledge To Career (AMKTC), Shah Alam, Selangor.

Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Amirudin Osman berkata, kesemua mereka berlepas ke lokasi tersebut semalam pada Majlis Pelepasan Sulung Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MAIPk Tahun 2026 di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini.

“Program itu merupakan pelepasan sulung TVET MAIPk bagi 2026 dan menjadi pembuka tirai kepada pelaksanaan pelbagai program TVET yang telah dirancang sepanjang tahun.

“Bagi menjayakan program ini (pembelajaran dalam bidang penerbangan), MAIPk telah memperuntukkan hampir RM400,000 bagi menampung kos latihan peserta,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua peserta yang berjaya menamatkan latihan akan terus ditempatkan dalam industri penerbangan menerusi jaminan penempatan kerjaya yang telah disediakan.

Amirudin berkata, ia sekali gus membuka peluang pekerjaan yang stabil dan berpotensi tinggi kepada golongan asnaf.

“Program kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila melibatkan penyertaan dua orang wanita daripada komuniti Orang Asli.

“Penyertaan ini mencerminkan komitmen MAIPk dalam memperluaskan akses latihan kemahiran kepada semua golongan asnaf serta membuka lebih banyak peluang pembangunan kerjaya kepada komuniti yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini menyaksikan MAIPk merancang pelaksanaan sebanyak 37 kursus TVET melibatkan sasaran 1,200 peserta dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM10 juta.

“Pelepasan sulung ini merupakan langkah awal ke arah merealisasikan sasaran tersebut, dengan beberapa siri program TVET lain akan dilaksanakan sepanjang tahun.

“TVET MAIPk bukan sekadar menyediakan latihan kemahiran, malah menawarkan laluan kerjaya yang jelas dan terjamin kepada peserta,” katanya.

Beliau berkata, Inisiatif itu merupakan antara usaha strategik MAIPk dalam memperkasakan anak-anak asnaf serta membebaskan mereka daripada belenggu pengangguran.

Bahkan, katanya, ia turut melahirkan modal insan yang berkemahiran, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |