ALOR SETAR – Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Langkawi, dekat sini pada tahun lalu.
Mereka ialah Asisten Superintendan (ASP) Azhar Mohd Amir, 46; Koperal Shahril Firdaus Solleh, 37; Koperal Mohd Shaharri Mat Saad, 37; dan Lans Koperal Arehan Roslee, 31.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Mohamad Hafiz Salleh yang ketika itu berusia 32 tahun di Pejabat Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi antara pukul 6.05 petang hingga 8 malam, 29 Januari 2024.
Pendakwaan terhadap empat tertuduh itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliza Md Zain manakala Azhar, Shahril dan Mohd Shaharri diwakili peguam, Amrick Singh Sandhu. Arehan pula diwakili peguam, Hari Prassaad Rao.
Mahkamah menetapkan 17 Ogos untuk sebutan semula kes.
Kosmo! pada 24 Julai tahun lalu melaporkan tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Langkawi atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang ditahan BSJN IPD Langkawi pada Januari tahun lalu.
Ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di BSJN IPD Langkawi itu ialah ASP Azhar, Koperal Shahril Firdaus dan Koperal Mohd Shaharri.
Sebelum ini dilaporkan seorang lelaki, Mohamad Hafiz meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini selepas ditahan polis dalam kejadian pada 29 Januari tahun lalu.
Mangsa didakwa dicederakan ketika operasi narkotik di sebuah stesen minyak di Ayer Hangat, Langkawi. Susulan itu, keluarga mangsa kesal dengan kejadian tersebut dan mahukan keadilan terhadap apa yang menimpa mangsa.
Mengikut rekod, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kening sebelah kanan, leher sebelah kiri, telinga, lutut dan tangan kanannya, manakala pegawai tangkapan dan tiga anggota lagi mengalami kecederaan kecil di bahagian badan. – KOSMO! ONLINE