MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 39 notis saman membabitkan bas perkhidmatan awam Bas.My atau bas ‘pink’ dalam Op Pinky yang dijalankan di sekitar negeri ini, semalam.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarinah Yusop berkata, lima daripada notis saman tersebut dikenakan terhadap pemandu bas yang dikesan memandu sambil menggunakan telefon bimbit.
Katanya, sebanyak 34 buah bas telah diperiksa dalam operasi yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang itu.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 14 buah bas dikenakan tindakan dengan keseluruhan 39 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan utama yang dikenal pasti adalah menggunakan telefon bimbit semasa memandu iaitu lima kes, tidak menyelenggara kenderaan juga lima kes dan alat pemadam api tamat tempoh empat kes,” katanya pada ketika sidang akhbar sempena Program Lelongan Awam Kenderaan Lucuthak Siri 1/2025 JPJ Melaka di Bukit Katil di sini, hari ini.
Ujarnya, operasi khas itu dilakukan susulan pihaknya menerima aduan dan insiden kemalangan melibatkan pengangkutan awam berkenaan.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesalahan-kesalahan itu berjaya dikesan hasil kaedah penyamaran sebagai penumpang yang digunakan oleh penguat kuasa.
“Kita menggunakan kaedah ini bagi menilai sikap dan tatakelakuan pemandu secara terus ketika dalam perjalanan.
“Sebarang kesalahan yang dikesan diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta undang-undang berkaitan,” ujarnya.
Terdahulu, sebanyak 50 kenderaan pelbagai jenis yang disita dan dilucuthak oleh JPJ Melaka dilelong dengan kutipan hasil mencecah RM62,100.50.
Kenderaan terbabit melibatkan 39 motosikal, lapan motokar, sebuah window van dan dua lori membabitkan harga rizab paling rendah ditetapkan RM67 bagi motosikal, manakala tertinggi ialah RM8,715 untuk sebuah motokar.