3 pekerja kilang dituduh sogok imigresen, lindungi warga asing di kelab malam

7 hours ago 3

JOHOR BAHRU – Tiga pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah kepada anggota penguatkuasa imigresen bagi melindungi pekerja warga asing di pusat hiburan di Kluang, lima bulan lalu.

Tertuduh, Gan Chi Qian, 25, Lai Yee Keong, 42, dan Wong Kent Sing, 51, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh secara bersama-sama telah memberi suatu suapan iaitu wang tunai RM25,000 kepada Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor ketika melakukan serbuan Ops Gegar di sebuah pusat hiburan di Kluang.

Ini sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima pekerja warga asing yang telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang boleh dihukum penjara tidak melebihi enam bulan atau didenda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua mereka dituduh melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 4.30 pagi di Pejabat Unit Tindakan, Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Taman Setia Tropika, 11 Januari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fazal Lisam Abidin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Dr. Abraham Mathew.

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada Mahkamah setiap tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan jumlah RM15,000 dengan seorang penjamin.

Abraham memohon kesemua anak guamnya yang bekerja di kilang di Kluang dengan pendapatan kira-kira RM2,000 dikenakan jaminan yang minima iaitu RM5,000 bagi setiap seorang.

Mahkamah kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 18 Julai depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |