20 sukan teras diselaras bermula di peringkat sekolah

6 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Pembangunan sukan negara kini bergerak lebih tersusun dan sistematik apabila 20 jenis sukan teras diselaras pelaksanaannya dari peringkat sekolah hingga ke pentas elit kebangsaan.

Langkah strategik itu menyaksikan kerjasama tiga kementerian utama iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berganding bahu bersama Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) dalam usaha memperkasa ekosistem pembangunan atlet negara.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, penyelarasan ini adalah hasil daripada kelulusan senarai sukan teras oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) pada 14 April lalu.

Menurutnya, kerjasama bersepadu ini akan memastikan program pembangunan bagi 20 sukan teras berprestasi tinggi tersebut dapat dilaksanakan secara seragam di semua peringkat.

“Sebelum ini, perbincangan kerap berlaku di peringkat MSN, tetapi kerjasama secara formal dengan KPM dan KPT dalam konteks sukan teras ini agak jarang berlaku.

“Jadi dengan perjumpaan hari ini kita dapat selaraskan program tersebut. Perkara paling penting, semua agensi kini akan melaksanakan program berdasarkan senarai 20 sukan teras yang sama di peringkat masing-masing,” katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

20 jenis sukan teras yang bakal diselaraskan membabitkan KPM dan KPT, KBS serta melibatkan Persatuan Sukan Kebangsaan.

Antara sukan baharu yang disenaraikan dalam sukan teras termasuk e-Sukan dan ping pong, menyertai sukan sedia ada seperti olahraga, renang dan hoki.

Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan penyelarasan program latihan, malah membuka ruang kepada perkongsian sumber kewangan yang lebih efisien.

Jelas Jefri, sukan-sukan yang terlibat kini berpeluang menerima peruntukan daripada pelbagai sumber kerajaan, bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada dana daripada MSN semata-mata.

“Ini yang kita nak terapkan. Kita lakukan  kerjasama supaya sama-sama dapat membangunkan sukan tersebut dengan lebih berkesan,” tegasnya.

Senarai sukan teras bagi tempoh 2025-2028 merangkumi akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, basikal (trek), boling padang, e-Sukan, gimnastik (artistik dan gimrama), hoki, karate, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, ping pong, sepak takraw, silat, skuasy, taekwondo, tenpin boling dan wushu. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |