PETALING JAYA – Dua sindiket yang aktif menjalankan kegiatan mencetak pelekat imigresen dan Pas Lawatan Kerja Sementara (ePLKS) palsu terbongkar apabila ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen (JIM).
Operasi dijalankan di dua lokasi sekitar Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada kelmarin, bermula pukul 11 pagi hasil aduan dan risikan selama dua minggu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, premis tersebut didalangi oleh seorang lelaki warga Pakistan yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Modus operandi sindiket terbabit adalah meminda dan mencetak semula pelekat imigresen palsu yang menyerupai dokumen asli.
“Setiap pelekat dijual pada harga antara RM100 hingga RM120, bergantung kepada negara yang tertera pada dokumen berkenaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Hasil serbuan, Zakaria berkata, pasukan operasi merampas 13 pelekat palsu yang ditampal pada visa Bangladesh, India, Amerika Syarikat (USA), Indonesia dan Pakistan.
Selain itu, katanya satu set komputer, sebuah komputer riba dan mesin pencetak yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu turut disita.
“Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Seramai satu lelaki dan wanita warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam operasi hari yang sama di dua lokasi sekitar Maluri, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor, dua wanita warga tempatan serta seorang lelaki warga tempatan berusia antara 40 hingga 43 tahun ditahan.
Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan dipercayai sebagai ‘dalang utama’ sindiket pemalsuan pelekat imigresen.
“Siasatan awal mendapati dua daripada suspek yang ditahan merupakan penjawat awam. Modus operandi sindiket adalah menguruskan pas lawatan kerja sementara (ePLKS) kepada warga asing yang berada di Lembah Klang dan tidak memiliki pas.
“Hasil semakan awal mendapati butiran pada ePLKS telah dipinda dan tidak wujud di dalam sistem imigresen. Kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM11,000.00 bagi setiap seorang dan dipercayai telah beroperasi sejak hujung tahun 2024,” katanya.
Zakaria berkata, pasukan operasi turut menyita sebanyak 101 naskhah pasport pelbagai negara terdiri daripada Sri Lanka, Myanmar, Vietnam, Indonesia, Ghana, India, Pakistan, Bangladesh, Syria, dua unit telefon bimbit dan satu salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Turut disita sebuah kenderaan Toyota Vellfire yang digunakan oleh sindiket ini. Kesemua warga tempatan yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Seramai dua warganegara tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE