2,172 rakyat Malaysia di Jordan selamat

5 hours ago 5

PETALING JAYA – Kedutaan Besar Malaysia di Amman memaklumkan seramai 2,172 rakyat Malaysia kini berdaftar dengan pihak kedutaan di Jordan, yang majoritinya terdiri daripada pelajar.

Sumber Kedutaan Besar Malaysia di Amman berkata, 2,069 orang merupakan pelajar, manakala selebihnya terdiri daripada pekerja dan orang awam.

“Kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan baik, sihat dan tenang meskipun berdepan situasi luar jangka di negara itu. Sehingga kini tiada sebarang laporan diterima yang menunjukkan mana-mana rakyat Malaysia terkesan secara langsung dengan perkembangan semasa di Jordan.

“Pihak Kedutaan sentiasa memantau dengan rapi keadaan semua rakyat Malaysia di Jordan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan mereka terpelihara. Ini termasuk menghubungi persatuan-persatuan pelajar serta individu dari kategori rakyat Malaysia yang lain dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Malah, katanya, pihak Kedutaan turut menasihatkan para pelajar untuk terus peka, mengutamakan keselamatan diri serta tidak mendekati sebarang objek yang tidak diketahui bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

“Bagi rakyat Malaysia yang merancang untuk melakukan perjalanan keluar dari Jordan, mereka diminta untuk menyemak jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing dari semasa ke semasa kerana kemungkinan perubahan berikutan situasi semasa,” jelasnya.

Pihak Kedutaan turut menggesa rakyat Malaysia yang masih belum berdaftar agar segera mendaftar keberadaan mereka bagi memudahkan urusan bantuan konsular sekiranya berlaku kecemasan.

“Pendaftaran ini amat penting bagi membolehkan pihak kedutaan bertindak pantas dan menyalurkan bantuan sewajarnya sekiranya diperlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |