PETALING JAYA – Filem adiwira tempatan, Keluang Man hanya berjaya mengutip sebanyak RM2.3 juta selepas 18 hari ditayangkan sekali gus gagal menambat hati para peminat sinema tempatan.
Meskipun berada di bawah Skim Wajib Tayang dan diterbitkan oleh gergasi syarikat perfileman, Astro Shaw, kutipan tersebut dianggap jauh daripada jangkaan, terutama apabila dibandingkan dengan prestasi filem syarikat itu sebelum ini yang sering mencipta rekod pecah panggung.
Menurut kenyataan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini, Keluang Man hanya mampu menarik seramai 141,000 penonton setakat ini.
Perbandingan jelas kelihatan apabila Ejen Ali The Movie 2, filem animasi tempatan yang masih ditayangkan, terus mengungguli carta kutipan dan kini memegang gelaran filem animasi dengan kutipan tertinggi di Malaysia.
Situasi itu turut menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penggiat seni yang percaya Keluang Man sepatutnya mampu pergi lebih jauh berikutan mutu produksi serta jalan cerita unik.
Bagaimanapun, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menjelaskan bahawa fokus utama bukan semata-mata pada angka kutipan.
“Bagi kami, projek ini adalah usaha untuk membuka laluan baharu kepada filem adiwira tempatan.
“Keluang Man bukan sekadar kutipan, tetapi tentang hala tuju baharu,” jelasnya.
Sementara itu, filem Gantung: Musketeer Code ditamatkan tayangan lebih awal beberapa pawagam dan hanya sekadar mengutip RM117,000 selepas 11 hari tayangan.
Bagaimanapun, rata-rata pemerhati industri menjangkakan Keluang Man mungkin akan mendapat nafas baharu jika strategi promosi diperhebatkan dan tayangan dilanjutkan.
Namun, buat masa ini, langit masih belum cukup cerah untuk adiwira tempatan itu terbang tinggi. – KOSMO! ONLINE