18 ekor lembu ‘tumbang’ di Kem Sungai Besi

13 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) melaksanakan ibadah korban melibatkan 18 ekor lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad berkata, daripada jumlah tersebut, 11 ekor lembu hasil daripada penyertaan warga TDM, manakala 7 ekor lagi merupakan sumbangan khas rakan strategik serta pihak luar bagi menjayakan program tahunan ini.

Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai dan anggota pelbagai peringkat.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang yang turut mengambil bahagian untuk acara hari ini. Dari segi agihannya pula, kita akan perlihatkan berapa banyak yang kita dapat.

“Bungkusan-bungkusan tersebut yang terutamanya kita akan pulangkan semula kepada siapa juga yang terlibat secara langsung untuk penyertaan dalam ibadah korban ini. Selebihnya, akan serahkan kepada golongan yang layak untuk menerima agihan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Suria, kira-kira 500 pegawai dan anggota hadir memeriahkan program berkenaan di peringkat Kem Perdana Sungai Besi.

Katanya, program korban turut dilaksanakan di kem-kem Tentera Darat di seluruh negara bermula semalam sehingga hari ketiga Aidiladha.

“(Program ini) dilaksanakan dengan kaedah bergotong-royong. Selain daripada kita menyahut tuntutan agama, kita juga ingin mengeratkan lagi hubungan antara sesama kita, terutamanya di kalangan semua sekali tidak mengira lapisan sama ada pegawai ataupun peringkat bawahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Suria turut menzahirkan penghargaan kepada anggota TDM yang bertugas di perbatasan, sempadan negara dan pulau-pulau ketika sambutan Aidiladha.

“Teruskanlah pelaksanaan tugas itu dengan jujur dan seikhlasnya. Apa yang penting berada di luar sana itu dalam keadaan yang betul-betul sihat agar negara ini terus aman dan segala ancaman dapat kita kekang seawalnya.

“Saya yakin apabila pulang nanti, saya pasti ada sambutan istimewa yang akan disediakan oleh keluarga masing-masing dan pasukan,” katanya.

Pada masa sama, TDM dalam kenyataan memaklumkan pasukannya akan terus komited dalam melaksanakan program berbentuk keagamaan serta kemasyarakatan yang holistik selaras dengan aspirasi TDM dalam memperkukuhkan hubungan murni antara warga tentera dan masyarakat.

Jelas TDM, keseluruhan proses bermula daripada penyembelihan, melapah, memotong sehinggalah kepada pembungkusan dan seterusnya pengagihan daging.

“Daging korban yang telah siap diproses seterusnya diagihkan secara kepada warga TDM, keluarga anggota, serta golongan asnaf di sekitar Lembah Klang termasuk diserahkan khas kepada rumah-rumah anak yatim dan kebajikan bagi menyemarakkan semangat berkongsi rezeki bersempena Aidiladha,” kata TDM. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |