1,800 kontraktor G1 di Kuala Lumpur ‘tenat’, bakal gulung tikar – Perkobf

6 hours ago 3

PETALING JAYA – Lebih 1,800 kontraktor G1 Bumiputera yang beroperasi di ibu negara, khususnya di bawah kendalian agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur kini ‘tenat’ dan hampir gulung tikar.

Ini kerana dakwa Presiden Persatuan Kontraktor Kelas F (Perkobf), Tukiman Radion, sejak lebih setahun lalu, tawaran kerja berskala kecil amat terhad dan semakin berkurangan.

Menurutnya, sebelum ini tawaran kerja (projek) menjadi nadi utama operasi kontraktor G1 dan situasi itu menyebabkan ramai kontraktor kecil hilang punca pendapatan.

“Secara keseluruhan, hanya dua peratus sahaja projek ditawarkan di seluruh negara berbanding bilangan kontraktor kelas G1 lebih 49,000 syarikat.

“Di Kuala Lumpur sahaja ada kira-kira 1,800 kontraktor berdaftar jadi macam mana mereka nak ‘survive’ jika projek yang dikeluarkan dua peratus sahaja,”katanya kepada Kosmo!.

Tukiman berkata, sebagai pusat pentadbiran, Kuala Lumpur seharusnya menjadi contoh dalam pelaksanaan dasar pemerkasaan ekonomi bumiputera, termasuk memberikan ruang yang seimbang kepada kontraktor kecil tempatan.

Namun malang katanya, apa yang berlaku kini menunjukkan seolah-olah kontraktor G1 bumiputera diabaikan dan tidak diberi keutamaan sewajarnya dalam pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembangunan berskala kecil.

Justeru katanya, Perkobf menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi kerajaan untuk meningkatkan bilangan tawaran projek kecil (di bawah RM200,000) secara konsisten dan berkala di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Selain itu, Perkobf juga mahu memastikan ketelusan dalam pengagihan projek dengan cara sistem undian untuk pemilihan kontraktor G1 agar tiada monopoli dan keutamaan yang merugikan kontraktor bumiputera tempatan.

“Kami percaya kontraktor G1 bukan hanya memainkan peranan dalam menjayakan agenda pembangunan setempat, tetapi juga sebagai pemacu penting dalam merancakkan ekonomi bumiputera bandar,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |