1,000 pelajar Malaysia di Indonesia selamat

2 weeks ago 17

PETALING JAYA – Kira-kira 1,000 pelajar Malaysia kini sedang melanjutkan pengajian di beberapa provinsi di seluruh Indonesia.

Education Malaysia Indonesia (EMI) berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis rasmi kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPMI) di peringkat pusat dan cawangan agar memastikan setiap pelajar sentiasa menjaga keselamatan diri serta tidak menyertai atau mendekati kawasan berlakunya unjuk rasa (demonstrasi).

“PKPMI Pusat dan cawangan turut diarahkan menghantar laporan situasi harian kepada pihak EMI dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi tujuan pemantauan,” kata kenyataan itu kepada Kosmo! hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua PKPMI Cawangan Jambi sesi 2024/2025, Ahmad Dhia Hariz Mohd. Rahisham menasihatkan semua ahli supaya mengelakkan diri daripada berada di lokasi demonstrasi susulan ketegangan yang berlaku di beberapa wilayah Indonesia.

Menurutnya, meskipun demonstrasi sedang berlangsung di beberapa kawasan termasuk di Jambi, keadaan di wilayah itu masih terkawal serta tidak membahayakan keselamatan pelajar Malaysia berbanding di kawasan lain, khususnya di Kepulauan Jawa.

“Kami turut diingatkan oleh pihak EMI dan TYT Duta Besar Malaysia di Jakarta agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti demonstrasi serta diminta mengemas kini keadaan semasa di Jambi.

“Alhamdulillah, setakat ini semua pelajar berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan ketegangan mencapai kemuncak selepas kematian seorang penunggang ojek dalam talian, Affan Kurniawan, yang dilaporkan terbunuh dihempas sebuah kenderaan taktik polis (Brimob) semasa demonstrasi di Jakarta.

Protes turut dinyalakan dengan ketidakpuasan terhadap elaun perumahan anggota parlimen yang mencecah hampir 50 juta rupiah sebulan (RM14, 5000), sekitar 10 kali gaji minima Jakarta, ditambah dengan ketegangan ekonomi seperti kenaikan kos hidup, pemecatan besar-besaran, dan cukai hartanah yang membebankan – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |