KUALA LUMPUR – White N Black Lakeside, restoran berkonsepkan fusion makanan Melayu dan Barat yang terletak di lokasi popular di Tasik Titiwangsa, kini memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjadikan jenama restoran tersebut kini lebih diyakini oleh pelanggan dan peminat kafe tersebut.
Restoran yang telah dibuka secara rasmi pada tahun 2022 itu milik sebuah syarikat bumiputera yang terlibat dalam sektor makanan dan minuman iaitu MFJ Group Holding Sdn. Bhd. (MFJ)
Ketua Pegawai Eksekutif MFJ, Mohd. Firdaus Jamaluddin berkata, proses mendapatkan pensijilan halal itu mengambil masa kira-kira enam bulan dan ia memerlukan satu komitmen yang tinggi dari aspek pematuhan syariah, penyediaan dokumentasi lengkap dan pemilihan bahan mentah yang semuanya perlu memiliki sijil halal.
Menurut beliau, restoran ini berpegang teguh kepada prinsip penyediaan makanan yang bersih dan mengikut hukum Islam.
Lebih istimewa, keseluruhan pekerja restorannya beragama Islam dan sentiasa menitikberatkan etika kebersihan, integriti penyediaan dan layanan mesra pelanggan.
“White N Black Lakeside bukan hanya mengetengahkan masakan tradisional Melayu, tetapi turut memperkenalkan menu Barat premium seperti Tomahawk, Sirloin Steak dan Beef Wellington.
“Semua hidangan ini disediakan tanpa penggunaan alkohol dan menggunakan resipi serta kaedah tersendiri yang telah mendapat pengesahan halal.
“Langkah ini menjadikan restoran ini unik dan diyakini, berbanding sesetengah restoran Barat lain yang gagal memperoleh pensijilan halal kerana penggunaan bahan atau kaedah penyediaan yang tidak memenuhi syarat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis meraikan penerimaan sijil halal yang diperoleh daripada Jakim di sini baru-baru ini.
Mohd. Firdaus menjelaskan, selain restoran ini, syarikat juga sedang mendapatkan pensijilan halal untuk beberapa restoran di bawah Kumpulan iaitu White N Black Catering, White N Black Kampong Heritage dan Nasi Ulam Ikan Sumbat.
Melalui pensijilan tersebut, ia bakal mengukuhkan imej restoran-restoran tersebut yang memiliki tarikan dan keunikannya tersendiri, malah terus mendapat sambutan baik daripada golongan kenamaan, artis, pelancong antarabangsa dan juga masyarakat.
Selain itu, dalam usaha memperkukuh struktur korporat dan melangkah ke peringkat lebih tinggi, MFJ Group telah mengumumkan pelantikan firma guaman Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co sebagai penasihat guaman rasmi syarikat.
Pelantikan ini adalah strategi penting dalam perancangan MFJ Group untuk proses awal menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia pada masa depan.
Melalui pelantikan itu juga, ia dijangka memperkukuh tadbir urus korporat, pengurusan risiko dan pematuhan undang-undang, sejajar dengan amalan pasaran modal.
“Kami mengunjurkan untuk membuka 20 cawangan baharu di bawah penjenamaan White N Black Lakeside Restaurant dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Syarikat sedang membuat kajian mendalam tentang pelan pengembangan tersebut dan antara lokasi strategiknya adalah di Selangor, Pulau Pinang dan Johor serta peluang untuk menembusi pasaran di negara jiran seperti di Indonesia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE