KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan semua pihak termasuk keluarga mendiang Teoh Beng Hock perlu menerima hakikat kes berkenaan telah melalui pelbagai proses siasatan dan semakan secara menyeluruh mengikut lunas undang-undang negara.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya turut menghargai kenyataan penuh keprihatinan yang disuarakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kepada keluarga mendiang sempena ulang tahun ke-16 insiden tersebut, yang berlaku pada 16 Julai 2009.
“MCW berpandangan bahawa keputusan yang dibuat oleh institusi keadilan negara termasuk Mahkamah Rayuan pada 2014, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011, serta siasatan semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diarahkan Mahkamah Tinggi pada November 2024, perlu dihormati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, keputusan Jabatan Peguam Negara pada Mei 2025 yang mengklasifikasikan kes ini sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) selepas meneliti keseluruhan bukti dan keterangan juga membuktikan proses perundangan telah dilaksanakan secara telus dan profesional.
“Tidak wajar proses perundangan yang dijalankan dengan baik ini dinafikan semata-mata bagi memenuhi kehendak segelintir pihak. Tindakan itu bukan sahaja tidak adil kepada pihak berwajib, malah boleh menjejaskan persepsi terhadap sistem keadilan negara,” katanya.
Jais berkata, MCW mengakui kematian Teoh Beng Hock yang berlaku di premis SPRM adalah satu insiden tragis dan memberi kesan besar kepada masyarakat.
Namun, katanya, ia merupakan kes terpencil yang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melemahkan institusi pencegahan rasuah negara.
“Komitmen membanteras rasuah perlu diteruskan secara tegas dan sistematik. Sejak insiden itu, SPRM telah melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan,” katanya.
Tambahnya, MCW menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memberi sokongan penuh kepada SPRM dalam usaha membanteras rasuah tanpa rasa takut atau ragu.
“Kegagalan menyokong institusi ini hanya membuka ruang kepada pelaku rasuah untuk merosakkan negara dari dalam,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan SPRM menzahirkan rasa simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock sempena ulang tahun ke-16 tragedi kematian beliau yang berlaku di premis SPRM Selangor pada 16 Julai 2009.
Azam Baki berkata, kejadian itu merupakan satu insiden hitam yang telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada waris mendiang tetapi juga kepada seluruh warga SPRM dan negara.- KOSMO! ONLINE