PETALING JAYA – Pasukan pickleball remaja Putrajaya Malaysia berjaya mencuri tumpuan apabila meraih tempat keempat kategori beregu lelaki bawah 18 tahun (B-18) pada Kejohanan Pickleball Terbuka Remaja Asia 2025 di Da Nang, Vietnam dari 13 hingga 15 Julai lalu.
Pasangan muda, Dzariff dan Nidhal mempamerkan aksi mantap sepanjang kejohanan biarpun berdepan cabaran hebat daripada pasukan pilihan dari Jepun, Korea dan tuan rumah, Vietnam.
Presiden Persatuan Pickleball Putrajaya, Amir Farid menyifatkan penyertaan itu sebagai pencapaian membanggakan dan satu titik permulaan penting buat pembangunan sukan tersebut di peringkat akar umbi negara.
“Alhamdulillah, pasukan junior kita menunjukkan komitmen yang luar biasa. Ia bukan sekadar soal kemenangan, tetapi tentang keberanian untuk bersaing dan belajar.
“Ini adalah titik permulaan penting untuk usaha pembangunan sukan pickleball di peringkat akar umbi. Melihat kepada kemajuan ditunjukkan oleh negara penganjur seperti Vietnam, sudah tiba masanya kita memperkukuh struktur pembangunan sukan ini di Malaysia,” katanya.
Kejohanan anjuran Persekutuan Pickleball Asia itu disertai 13 pemain muda dan mempertandingkan acara perseorangan dan beregu melibatkan empat kategori iaitu B-12, B-14, B-16 dan B-18 lelaki serta perempuan.
Pengurus pasukan, Khairol Azmi menekankan pentingnya pendedahan di pentas antarabangsa buat pemain muda.
“Dari segi mental, strategi dan disiplin, mereka menunjukkan potensi besar. Kami melihat ini sebagai langkah pertama yang sangat bermakna dalam pembinaan generasi baharu atlet pickleball negara,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih, Fadhil Hussin menyifatkan pemain-pemain negara tidak gentar menentang pencabar handal dan menunjukkan semangat juang tinggi.
“Walaupun masih banyak aspek yang perlu diperbaiki terutama dari segi intensiti latihan dan konsistensi dalam permainan, semangat dan keinginan untuk bersaing yang ditunjukkan oleh pemain-pemain sangat membanggakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE