AMPANG – Tahun Melawat Selangor 2025 bakal mencapai kemuncaknya dengan penganjuran Selangor Travel Fair 2025 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Julai depan di Central Market, Kuala Lumpur.
Selama dua hari, karnival pelancongan ini menyasarkan kehadiran lebih 30,000 pengunjung, menampilkan 30 pempamer pelancongan dari seluruh Selangor termasuk jenama terkenal seperti Farm Fresh, Selangor Fruit Valley, GL Play, Farm in the City, Jumpstreet Asia, serta agensi kerajaan seperti Tourism Malaysia dan PADAT.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, antara pengisian menarik yang menanti pengunjung ialah pameran pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana (IKS), persembahan kebudayaan, bengkel videografi bersama Sinemalis dan ‘live podcast’ eksklusif bersama Media Selangor.
“Paling ditunggu-tunggu, pelancaran video dan lagu rasmi ‘Selangor Kan Ada!”. Kita akan adakan tayangan perdana video rasmi dan juga akan memperkenalkan siapa penyanyi lagu ‘Selangor kan Ada’.
“Selain itu, acara ini akan dimeriahkan lagi dengan persembahan khas oleh artis seperti Aizat Amdan, dan Lah Ahmad dan juga Kumpulan Kesenian PADAT pada 26 Julai 2025 bermula pada pukul 7.30 malam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Suprising Selangor Media & Influencer Hi-Tea 2025 di sini, hari ini.
Majlis perasmian pula akan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menjayakan inisiatif pelancongan ini menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru kerjasama media dan para pempengaruh untuk memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan maklumat dan mempromosikan acara ini ke serata pelosok negara.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pada tahun ini pihaknya menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong, dengan resit pelancongan RM 11.2 bilion.
“Sehingga Mac 2025, kita telah berjaya merekodkan lebih 1.77 juta kedatangan pelancong, dengan majoriti (72 peratus) adalah pelancong domestik, manakala selebihnya antarabangsa terutamanya dari China, Singapura, Indonesia, Jepun dan India.
“Apa yang lebih membanggakan, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor telah mencatatkan jumlah pelawat domestik tertinggi di Malaysia pada tahun 2024 untuk 4 tahun berturut- turut, iaitu seramai 34.5 juta orang.
“Ini membuktikan bahawa Negeri Selangor terus menjadi destinasi pilihan utama rakyat Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE