Mahkamah kekal sabitan guru tahfiz ‘sentuh’ pelajar

6 hours ago 4

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan ke atas seorang bekas guru tahfiz yang didapati bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar berusia 11 tahun, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdullah Aziz sebulat suara menolak rayuan Tengku Mohammad Khaireel Tengku Wahab, 32, terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, keterangan mangsa adalah konsisten dan tidak bersifat rekaan semata-mata.

“Tindakan perayu itu bukan sahaja mencemarkan nama guru agama tersebut, malah memberi kesan kepada peribadi pengadu sendiri.

“Keterangan itu disokong pula oleh laporan kepada saksi pendakwaan pertama iaitu doktor yang merawat serta penilaian Hakim Mahkamah Sesyen. Ini jelas bukan satu rekaan,” katanya.

Beliau berkata, sabitan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas perayu adalah tepat.

“Sepatutnya tertuduh menjadi individu yang melindungi dan mengawal daripada kejadian seperti ini berlaku, bukan sebaliknya. Justeru, hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan itu bukanlah keterlaluan,” katanya.

Terdahulu, perayu yang berusia 27 tahun ketika kejadian didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap kanak-kanak itu antara Januari dan Disember 2020.

Pada 23 Disember 2020, Tengku Mohammad Khaireel didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di dalam bilik warden asrama sekolah tahfiz berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan pukuk 11.30 malam, 1 Disember tahun sama dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Peguam bela Mohd. Shuhairil Ziqrul Sapi mewakili perayu manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |