Program Panah & Pelana UniMAP serlahkan sukan sunnah

6 hours ago 4

CHUPING – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan komitmennya dalam pembangunan sahsiah dan kesihatan pelajar menerusi penganjuran Program Berkuda Laskar Islam: Panah & Pelana berlangsung di Shah Stable, Felda Chuping baru-baru ini.

Program yang mengetengahkan dua sukan sunnah utama iaitu berkuda dan memanah itu mendapat sambutan hangat apabila disertai lebih 100 peserta terdiri daripada pelajar, staf serta orang awam berumur 18 tahun ke atas.

Bukan sahaja kaya nilai spiritual dalam Islam, malah berfungsi sebagai medium terapi fizikal dan mental dengan latihan intensif dikendalikan pengasas RT Equestrian Sdn Bhd., Rasywan Taufiq yang berpengalaman luas dalam bidang equestrian dan pembangunan sukan berkuda.

Menurut Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Muhammad Adib Hassan, objektif utama penganjuran adalah untuk meningkatkan kecergasan fizikal, keseimbangan badan serta koordinasi peserta.

Di samping membantu mengurangkan tekanan mental dan merangsang ketenangan dalaman, program itu turut memberi pendedahan praktikal kepada peserta tentang amalan sunnah Rasulullah SAW, khususnya dalam sukan yang digalakkan oleh Islam.

Uniknya, aktiviti berkuda dan memanah itu juga berperanan membina keyakinan diri, mengatasi rasa takut, serta memupuk keberanian, terutamanya dalam kalangan peserta yang pertama kali menunggang kuda.

Ia secara tidak langsung membantu membentuk watak dan jati diri, menerusi nilai-nilai seperti kesabaran, empati, disiplin dan tanggungjawab hasil daripada interaksi rapat dengan haiwan dan latihan berstruktur.

Program hasil kerjasama Fakulti Perniagaan dan Komunikasi serta PIMPIN sebagai usaha menyemarakkan gaya hidup sihat dan seimbang berteraskan nilai Islam, selaras agenda pembangunan insan UniMAP untuk memperkasa karakter pelajar dan masyarakat kampus.

Para peserta turut meluahkan keterujaan dan menyifatkannya sesuatu yang unik dan membina dengan ramai dalam kalangan mereka menyatakan hasrat untuk meneruskan minat dalam bidang equestrian dan memanah sebagai gaya hidup sihat serta sunnah berterusan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |