‘Ia memalukan kerana di Kelantan, jika di KL dianggap biasa’

6 hours ago 3

PETALING JAYA – Pesta gay sememangnya memalukan lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di Kelantan yang sinonim dengan gelaran Serambi Mekah.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jika berlaku di Kuala Lumpur seperti serbuan di Blue Boy Club pada Ogos 2018 tidak memalukan, malah dianggap biasa.

“Atau parti Halloween LGBT pada Oktober 2022, di Johor Bahru seperti pesta seks sejenis pada Februari 2023, bahkan di Pulau Pinang seperti pesta seks di sebuah unit kondominium pada Jun 2022.

“Tetapi apabila ia berlaku di Kelantan, maka ia dikata mengaibkan. Namun begitu yang lebih utama adalah tindakan berani membanterasnya, bukan menutup mata demi menjaga persepsi. Tahniah PDRM. Teruskan sehingga Kelantan bersih sebersih-bersihnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas, serbuan polis Kelantan terhadap perjumpaan gay melibatkan lelaki berusia antara 20 hingga 30-an di sebuah banglo di negeri itu pada pertengahan Jun lalu.

Ahmad Fadhli berkata, usaha polis Kelantan tersebut wajar dipuji dan diteruskan hingga budaya songsang tersebut lenyap sepenuhnya dari Kelantan.

Ujar beliau, kerajaan Kelantan juga wajar diberikan lebih ruang untuk merangka undang-undang lebih tegas bagi menyekat gejala itu tanpa sebarang sekatan.

Katanya, Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari 2021 membatalkan peruntukan Enakmen Syariah Kelantan berkaitan larangan lelaki berpakaian seperti perempuan atas alasan bertindih dengan undang-undang Persekutuan.

Justeru, kata beliau, Kelantan perlu mengkaji apakah lagi ruang yang boleh diterokai untuk mewujudkan undang-undang lebih keras namun selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kejadian ini sememangnya memalukan, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di Kelantan negeri yang sinonim dengan gelaran Serambi Mekah.

“Namun, yang lebih penting daripada rasa malu itu adalah keberanian untuk membasmi kemungkaran. Ubat memang pahit, tetapi selagi penyakit masih bersarang, kita wajib memaksa diri untuk menelannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |