SEOUL – Seorang wanita berusia 93 tahun di Korea Selatan menjadi tular kerana penampilannya yang jauh lebih muda dan mempunyai kecerdasan tinggi, lapor portal berita MSNews semalam.
Presiden Universiti Gachon di Seongnam, Dr. Le Gil-ya menjadi sensasi internet selepas penampilannya dalam video terbaharu di pusat pengajian tinggi itu.
Rambut yang sihat dan kulit yang muda telah menyebabkan penonton berasa kagum malah ada yang bertanya secara berseloroh sama ada dia seorang puntianak.
Dalam temu bual dengan akhbar Chosun Daily, Gil-ye yang dilahirkan pada 1932 berkata, rahsianya untuk kekal muda terletak pada konsistensi dan kesederhanaan.
“Saya hanya melakukan perkara biasa secara konsisten,” jelasnya.
Wanita yang tidak berkahwin itu juga mengelak minuman alkohol dan merokok, teh dan bukannya kopi serta memastikan dia minum 1.5 liter air setiap hari.
“Elakkan bahan perangsang dan jangan terlalu tertekan,” tambahnya yang juga menerima rawatan laser biasa di klinik dermatologi.
Keputusan wanita itu untuk menjadi doktor berpunca selepas dia menyaksikan kemiskinan dan kematian di zaman kanak-kanaknya.
Selepas menamatkan pengajian dari Kolej Perubatan Universiti Kebangsaan Seoul, beliau melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dan Jepun.
Pada tahun 1958, beliau membuka klinik ginekologi dengan polisi tanpa deposit, merawat mereka yang tidak mampu membayar yuran perubatan.
Gil-ya kemudian mengasaskan Hospital Gil dalam tahun 1978 dan pada usia 65 tahun, beliau menubuhkan Sekolah Perubatan Gachon, menawarkan tuisyen serta perumahan percuma kepada pelajar.
Rekod dermawannya termasuk pembedahan jantung percuma kepada 432 kanak-kanak dari 17 negara dan pemeriksaan kanser serviks percuma untuk wanita. – AGENSI