KUANTAN – Bagi mengelak membayar hutang dan sewa rumah seorang wanita dipercayai bertindak nekad membuat laporan polis palsu kononnya di samun berhampiran Taman Pandan Damai semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan siasatan awal polis mendapati wanita berusia 57 tahun itu dipercayai membuat laporan palsu.
Katanya, wanita itu sebelum ini tampil membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading di sini kira-kira pukul 9.40 pagi semalam mendakwa disamun seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki kereta berwarna hitam dan bersenjatakan pemutar skru.
“Dalam laporan tersebut dia mendakwa wang tunai RM1,500 dan barang kemas miliknya dilarikan suspek berhampiran padang Taman Pandan Damai.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati tiada kejadian samun berlakudan siasatan lanjut mendapati wanita itu membuat laporan palsu atas kepentingan diri sendiri. Dia juga berada dalam keadaan waras ketika membuat laporan tersebut,” katanya di sini hari ini.-KOSMO! ONLNE