PETALING JAYA – Tular di media sosial video seorang lelaki meminta bantuan orang awam yang berada di dalam transit aliran ringan (LRT) dengan mendakwa dirinya diekori seseorang yang ingin membunuhnya.
Menerusi video tular dimuat naik @urbogrl yang telah mencecah 3.4 juta tontonan, lelaki yang memakai baju berwarna hitam itu memegang beberapa dokumen di tangan sambil meminta tolong orang ramai.
Kelihatan di dalam video tersebut juga terdapat dua individu juga memakai baju warna hitam berada di koc berlainan sedang merenung ke arah lelaki yang meminta tolong itu.
“Dari pagi dorang ikut saya kak, abang saya ambil insurans nak bunuh saya. Tak tipu kak, tengok kak. Abang saya nak bunuh saya, dorang nak ambil insurans.
“Tengok kak dorang ikut saya, ‘viralkan’ kak, tolong selamatkan saya. Abang kandung saya nak bunuh saya, dorang hantarkan orang. Tiada orang nak bantu saya, tengok saya dah buat laporan dah,” rintih lelaki itu.
Difahamkan kejadian berlaku di LRT stesen Bangsar sekitar pukul 9.30 malam.
Sehingga kini tidak dapat dipastikan kesahihan dakwaan lelaki tersebut sama ada betul diekori dan terancam oleh individu yang dimaksudkan.
Sementara itu, semakan di ruangan komen, Rapid KL telah bertindak dengan bertanyakan tentang butiran lanjut mengenai kejadian tersebut.
“Hi boleh kami dapatkan tarikh dan waktu kejadian untuk siasatan selanjutnya?,” tulis Rapid KL.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen pula mendapati ada beberapa pengguna mendakwa lelaki tersebut merupakan mualaf yang telah dibuang keluarga.
Mereka dakwa lelaki tersebut telah melarikan diri dari Johor Bahru sampai ke Kuala Lumpur kerana terancam dengan ugutan keluarganya.
“Kepada yang tidak tahu cerita, saudara ni mualaf. Keluarga tak suka. Keluarga ambilkan insurans untuk dia tanpa pengetahuan.
“Syarikat mana pun dia tidak tahu. Abang dia upah orang untuk bunuh dia. Dia lari dari Johor sampai Kuala Lumpur dan masih ada orang ikut sampai pagi. Saudara ni dah buat laporan polis,” dakwa pengguna terbabit. – KOSMO! ONLINE
@urbogrlHi korang , i need your help to repost this post if can .. kesian dia .. dia kena ikut and kena ugut b***h .. he is shaking & crying i takda niat apa cuma nak tolong saja 🙏🏻 i know the internet voice could speak louder 🙏🏻🙏🏻🙏🏻