SEREMBAN – Pemandu lori yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan atas kesalahan membawa lebih muatan mendakwa diarahkan oleh majikan walaupun mengetahui risikonya.
Itu alasan yang diberikan oleh kebanyakan pemandu lori apabila ditahan pasukan penguatkuasa itu dalam dalam operasi yang dijalankan di sekitar Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) di sini baru-baru ini.
Seorang pemandu lori lelaki berusia 55 tahun berkata, dia sudah menjangka akan ditahan dan mengakui kesalahan itu, namun terpaksa akur dengan arahan majikan. “Saya sudah bawa lori 21 tahun dan dalam perjalanan dari Senawang ke Banting, Selangor untuk hantar kayu potong. Memang lori saya bawa lebih muatan, tapi saya tak boleh buat apa kerana majikan yang arahkan,” katanya ketika ditemui dalam operasi tersebut.
Wartawan Kosmo! mendapati, lori membawa kayu potong itu kelihatan tidak stabil ketika dipandu sepanjang lebuh raya, malah kayu potong lebih muatan yang dibawa hanya ditutup kain kanvas.
Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusof berkata, alasan sedemikian tidak boleh diterima kerana setiap pemandu bertanggungjawab memastikan kenderaan mereka dikendalikan dalam keadaan selamat serta mematuhi had muatan ditetapkan.
“Bagi saya setiap pemandu lori tahu tentang undang-undang ini dan alasan arahan majikan tidak boleh dijadikan justifikasi untuk mereka melanggar undang-undang. Bukan saja pemilik kenderaan atau majikan, tapi pemandu lori itu juga boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat membawa lebih muatan kerana perbuatan itu juga boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
Menurut Hanif, pemandu boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah (89) Akta Pengangkutan Jalan, manakala pemilik kenderaaan atau syarikat akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 87(1) akta sama yang mana mereka akan dikenakan hukuman lebih berat termasuk denda serta tindakan terhadap permit operasi.
“Kita memandang serius kesalahan ini, walaupun majikan memberi tekanan untuk membawa muatan berlebihan demi keuntungan atau apa saja alasan, tanggungjawab utama di jalan raya tetap terletak pada pemandu,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 3,275 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan kerana kesalahan membawa lebih muatan.
“Tahun ini juga sebanyak 31 kenderaan dalam proses untuk diambil tindakan dilucut hak kerana membawa lebih muatan berbanding tahun lalu dua kes. Data ini menunjukkan peningkatan yang ketara dan kita memandang serius perkara ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

3 hours ago
1







![[VIDEO] Drebar bas pecut elak ditahan sebab ikut cakap majikan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-11.34.19_a5272c08.jpg)


![[VIDEO] ‘Guru besar ke? Nampak besar sangat ‘kabel’ dia guna…’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-10.32.20_1d1c3e72.jpg)



![[VIDEO] Selepas 7 tahun masuk Islam, giliran maknya pula ucap syahadah](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/IMG_0555.jpeg)


































