[VIDEO] Raut wajah ibu Zara Qairina tampak tenang, ramai doakan

3 weeks ago 16

PETALING JAYA – Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir mencuri perhatian pengguna media sosial hari ini apabila tampak tenang ketika hadir bagi pendengaran permohonan peguam di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Menerusi video yang dimuat naik di Sabah Info, meskipun ibu Zara, Noraidah Lamat memakai pelitup muka, namun jelas kelihatan raut wajahnya tampak tenang apabila berhadapan pihak media.

Malah pihak wartawan sendiri turut bertanyakan kepada peguam apakah rahsia di sebalik ketenangan ibu Zara pada pagi ini.

Selain itu ibu Zara turut tersenyum ketika berbual dengan beberapa barisan peguam lain ketika menunggu prosiding di luar mahkamah.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang memuji kekuatan yang ditonjolkan Noraidah meskipun berdepan dengan kehilangan yang amat besar.

“Dia tenang sebab Allah beri kekuatan, dia yakin dengan janji Allah,” komen Noe Eisha.

“Kekuatan yang tidak dapat digambarkan. Semoga Allah melindungi ibu Zara selalu, kami tetap di belakang anda,” komen Anna Saimma.

“Nampak kuat tetapi Allah sahaja yang tahu perasaan ibu Zara setakat ini,” komen Saniah pula.

Terdahulu, Mahkamah Koroner hari ini mendengar permohonan peguam keluarga Allahyarham Zara untuk mendeklarasikan ibu arwah sebagai orang berkepentingan dalam prosiding inkues yang dijadual bulan depan.

Noraidah kemudiannya dibenarkan menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian remaja itu.

Keputusan tersebut dibuat oleh Pengarah Mahkamah Negeri Sabah merangkap Koroner, Azreena Aziz selepas meneliti permohonan yang difailkan pada 19 Ogos lalu.

Melalui kebenaran itu, Noraidah melalui pasukan peguam pemerhati boleh memeriksa dan menyoal balas saksi, melihat dokumen, serta mencadangkan dan membawa saksi tambahan bagi membantu koroner.

Allahuarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |