PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial, Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 28, telah membuat laporan polis berkaitan kumpulan Facebook (FB) dikenali sebagai ‘Grup Budak-budak Sekolah Rendah’ yang mencetuskan kemarahan ramai susulan penyebaran gambar remaja perempuan dengan tujuan tidak senonoh.
Melalui satu hantaran di laman Instagram Mekyun, dia dan abang sulungnya yang juga seorang peguam dikenali Abe Jay membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.
Menurut hantaran tersebut, Mekyun berkata, kes yang dibimbangi akan merosakkan akhlak remaja tempatan itu telah disiasat oleh pihak polis dan Tindakan lanjut bakal dilakukan tidak lama lagi.
“Mekyun sampai di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama Abe Jay, peguam Mekyun. Pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap kes ni.
“Sebagai Content Creator yang bertanggungjawab, Mekyun bersuara untuk mereka yang tak mampu bersuara. Untuk semua mangsa. Untuk setiap anak yang tak bersalah. Untuk setiap suara yang terlalu lama dipandang sepi.
“Mekyun dah buat semampu yang boleh. Sekarang, kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Please jaga diri. Jaga anak-anak kita. Kita jaga kita,” ujarnya.
Terdahulu, Mek Yun mendedahkan mengenai kewujudan kumpulan terbabit dan menggesa pihak berkuasa bertindak segera bagi menyekat penyebaran kandungan tidak bermoral itu.
Mek Yun yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul, Pulau Pinang meluahkan rasa terkejut apabila mendapati gambarnya ketika zaman persekolahan turut dimuat naik ke dalam kumpulan tersebut tanpa sebarang kebenaran.
“Saya dimaklumkan mengenai perkara ini oleh pengikut Instagram yang ternampak gambar saya dimuat naik di laman berkenaan. Saya sendiri tidak sanggup untuk skrol kandungan kumpulan itu kerana jijik dengan komen berbaur lucah yang ditinggalkan oleh lelaki-lelaki tidak bermoral.
“Kandungan forum tersebut dipenuhi dengan gambar-gambar pelajar sekolah yang dijadikan bahan perbualan fantasi jelik terhadap remaja bawah umur. Saya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.