KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai menjadi punca kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 28 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Plaza Tol Duta di sini, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya mengesan rakaman video kejadian itu yang tular di media sosial sebelum siasatan lanjut dijalankan.
Menurut beliau, kejadian kira-kira pukul 11 malam itu melibatkan sebuah Proton Inspira, Proton Wira dan Toyota Hilux.
“Siasatan awal mendapati Proton Inspira dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dipercayai terbabas sebelum berhenti di lorong kanan lebuh raya.
“Sebuah Proton Wira dipandu lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun kemudian melanggar kenderaan terbabit sebelum sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun turut merempuh Proton Inspira berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat pelanggaran itu, Proton Inspira dan Toyota Hilux terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar penghadang jalan.
“Kesemua pemandu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Beliau berkata, Toyota Hilux mengalami kerosakan pada bahagian bumper belakang, sensor undur, bonet hadapan, bumper hadapan dan tangki air.
“Proton Wira pula mengalami kerosakan pada bumper, bonet, lampu hadapan kiri dan kanan serta fender, manakala kerosakan Proton Inspira masih dalam siasatan,” jelasnya.
Tambah beliau, polis telah menahan pemandu Proton Inspira bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Antara tindakan diambil termasuk mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup, merakam percakapan saksi, melakukan lawatan ke lokasi kejadian serta pemeriksaan dan mengambil gambar kenderaan terlibat,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, tular sebuah video di media sosial memaparkan kemalangan melibatkan beberapa kenderaan di sebuah lebuh raya dipercayai menghala ke Plaza Tol Duta, kira-kira pukul 10.52 malam, kelmarin.
Menerusi video dimuat naik di Threads Hasanah, terdapat sebuah kenderaan dipercayai terbabit dalam kemalangan terlebih dahulu sehingga berada dalam keadaan melintang di lorong kanan. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
6


![[VIDEO] Anak 14 tahun jadi imam solat jenazah, talkin Allahyarham bapa](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-11-at-17.32.08-1.jpeg)











































