PETALING JAYA – Rejimen 504 Askar Wataniah (AW), Kem Bukit Keteri di Perlis dipilih sebagai lokasi ketiga pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bagi Siri 3 Tahun 2026 yang akan bermula pada 11 Julai hingga 24 Ogos depan.
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam satu kenyataan berkata, penambahan kem baharu itu dibuat berdasarkan keperluan serta ketersediaan fasiliti latihan bagi pelaksanaan program berkenaan.
“Dengan pembukaan Kem Bukit Keteri, pelaksanaan PLKN 3.0 kini melibatkan tiga lokasi utama iaitu Kem Rejimen 515 AW di Kuala Lumpur, Kem Rejimen 505 AW di Pekan, Pahang dan Kem Rejimen 504 AW di Perlis.
“Semakan bagi bakal pelatih Siri 3/2026 melibatkan kelahiran tahun 2008 boleh dibuat menerusi Sistem ePLKN 3.0 mulai 11 Mei 2026, pukul 3 petang,” katanya hari ini.
Semakan boleh dilakukan menerusi pautan https://plkn.mod.gov.my/pelatih/semakan/form.
JLKN berkata, pelatih yang terpilih perlu membuat pengesahan kehadiran melalui sistem ePLKN 3.0 selewat-lewatnya pada 19 Jun depan bagi melancarkan proses pendaftaran dan pentadbiran.
Menurut kenyataan itu, pada fasa pertama pengoperasian, Kem Bukit Keteri akan menyediakan 120 tempat khusus untuk pelatih wanita bagi Siri 3/2026.
“Kem ini dijangka siap sepenuhnya tahun ini dan mampu menampung hampir 500 pelatih pada satu-satu masa,” jelas kenyataan itu.
Tambah JLKN, kemudahan di kem berkenaan turut dinaik taraf dengan konsep fasiliti moden merangkumi blok penginapan, kemudahan sokongan, infrastruktur asas, fasiliti ibadah serta kawasan latihan yang lebih selesa dan kondusif.
Katanya, pembangunan fasiliti tersebut selaras dengan usaha memperkasakan PLKN 3.0 sebagai platform pembangunan jati diri, patriotisme dan pembinaan karakter belia Malaysia.
Dalam pada itu, JLKN menegaskan kehadiran pelatih yang terpilih adalah wajib dan kegagalan melapor diri tanpa alasan munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara. – KOSMO! ONLINE.

8 hours ago
7


![[VIDEO] Anak 14 tahun jadi imam solat jenazah, talkin Allahyarham bapa](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-11-at-17.32.08-1.jpeg)





![[VIDEO] Kemalangan NKVE: Pemandu Inspira ditahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-11-at-2.02.26-PM.jpeg)





































