BALING – Perbuatan seorang mekanik menyembunyikan selaras senapang patah, sepucuk pistol tiruan dan lebih 180 butir peluru di dapur dan loteng rumahnya terbongkar dalam serbuan pada Rabu lalu.
Tindakan itu dilakukan selepas polis menahan suspek bersama tiga pucuk pistol termasuk satu tiruan serta dua laras senapang angin di sebuah bengkel kenderaan di sini pada 1 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, hasil soal siasat, suspek yang berusia 45 tahun mendedahkan mengenai senjata api yang disembunyikan di rumahnya.
“Hasil pemeriksaan di dapur dan di loteng rumah membawa kepada penemuan selaras senapang patah jenama Remington Model 1100 buatan Amerika Syarikat dan sepucuk pistol tiruan jenis Glock 19 Gen 4.
“Turut dijumpai ratusan peluru termasuk 22 butir peluru 5.56 pelbagai jenama dan 18 butir peluru Blank jenis 5.56,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, di sini hari ini.
Katanya, siasatan turut dilakukan bagi mengenal pasti rangkaian bekalan senjata termasuk kemungkinan penglibatan pihak lain dalam aktiviti penyeludupan dan pemilikan senjata api secara haram.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Kosmo! pada 5 Mei lalu melaporkan seorang mekanik ditahan susulan penemuan tiga pucuk pistol termasuk satu tiruan serta dua laras senapang angin di sebuah bengkel kenderaan di Baling pada 1 Mei lalu dipercayai sebagai koleksi peribadi.
Turut dijumpai 17 butir peluru berlainan jenis, 130 bebola besi dan sarung pistol. Hasil soal siasat mendapati senjata itu dibeli dari negara jiran pada harga RM1,300 hingga RM1,500 dan dibawa masuk melalui sempadan di Perak. Suspek turut positif dadah jenis methamphetamine. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
4













![[VIDEO] ‘Geng dewan bedah gigih kejar 10,000 langkah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-09-at-14.12.45.jpeg)
































