Thiago bebas tahanan Israel, selamat sampai di Brazil

1 hour ago 2

PETALING JAYA – Aktivis kemanusiaan dan pemimpin misi Global Sumud Flotilla, Thiago Ávila akhirnya disahkan bebas daripada tahanan pihak berkuasa Israel semalam.

Menerusi kenyataan rasmi daripada pusat perundangan Adalah yang berpangkalan di Haifa, pembebasan tersebut disahkan selepas mereka menerima tekanan antarabangsa berhubung penahanan haram kedua-dua aktivis berkenaan di perairan antarabangsa baru-baru ini.

Meskipun mereka telah dibebaskan, organisasi hak asasi manusia antarabangsa, FIDH dan Adalah tetap mengecam sekeras-kerasnya proses penahanan tersebut yang disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Pagi ini, 10 Mei 2026, kami telah menerima pengesahan rasmi bahawa pemimpin GSF, Thiago Ávila dan Saif Abukeshek, telah dibebaskan dan dihantar pulang serta tidak lagi berada dalam tahanan Israel.

“Walaupun mereka kini bebas,kami mengutuk keseluruhan proses tersebut sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang nyata kerana telah menculik mereka di perairan antarabangsa yang jelas menyalahi undang-undang,” lapor kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa penggunaan taktik penahanan, soal siasat, dan layanan buruk terhadap aktivis adalah cubaan terdesak rejim untuk menekan solidariti global bersama rakyat Palestin di Gaza.

Thiago Ávila yang merupakan warga Brazil, sebelum ini menyertai misi flotilla tersebut bagi membawa bantuan dan kesedaran mengenai krisis kemanusiaan yang sedang berlaku sebelum kapal mereka dipintas oleh tentera laut Israel.

Kepulangan Thiago ke Brazil disambut dengan rasa syukur oleh komuniti aktivis dunia, namun FIDH berikrar akan terus berjuang untuk menamatkan budaya kebal undang-undang yang diamalkan oleh pihak berkuasa Israel setiap hari di Gaza.

Semalam Kosmo! melaporkan rakan seperjuangannya, Saif Abukeshek turut bebas daripada tahanan pihak berkuasa Israel selepas enam hari mengharungi detik kejam dalam penjara rejim berkenaan.

Kedua-dua aktivis tersebut dilaporkan telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing dan tidak lagi berada dalam tahanan. — KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |