Tiada rakyat Malaysia terlibat visa haji palsu

2 hours ago 2

MEKAH – Tiada laporan diterima membabitkan rakyat Malaysia berhubung tawaran pakej visa palsu dan urusan haji tanpa kebenaran pihak berkuasa setakat ini.

Ketua Rombongan Haji, Mohd. Hisham Harun berkata, pihaknya mengingatkan kemungkinan wujud pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap mereka yang terdesak mahu menunaikan Rukun Islam kelima itu dengan menawarkan pakej haji menjelang hari wukuf.

Katanya, Kerajaan Arab Saudi memberikan peringatan tegas bahawa mana-mana individu dengan visa haji tidak dibenarkan untuk memasuki Mekah terutamanya Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Sekiranya ditangkap dan didapati bersalah, hukuman mengikut undang-undang Arab Saudi akan dikenakan. Tindakan ini juga akan memberi kesan kepada hubungan baik Malaysia dan Arab Saudi ketika ini.

“Hanya mereka yang mempunyai visa haji yang sah dibenarkan berada di Tanah Haram dan mengerjakan haji. Jadi ingat, tiada visa, tiada haji,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Hisham berkata, setakat kini seramai 22,711 jemaah tiba di Tanah Suci menerusi 74 penerbangan. Semua jemaah akan berkumpul di Mekah bagi menantikan kemuncak haji, hari wukuf yang berbaki kurang 15 hari.

Menurutnya, persiapan di Masya’ir juga hampir lengkap di mana TH akan membuat lawatan ke tapak khemah untuk menyelaras persediaan akhir menjelang wukuf pada 26 Mei.

Mohd. Hisham mengingatkan jemaah haji supaya menjaga kesihatan masing-masing memandangkan cuaca dijangka lebih panas menjelang hari wukuf.

“Jemaah haji dinasihatkan untuk minum air secukupnya, menggunakan payung ketika berada di luar bangunan penginapan semasa cuaca terik dan mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan risiko tekanan haba.

“Peringatan berulang juga diberikan kepada seluruh jemaah haji untuk fokus kepada ibadah, simpan tenaga dan kekalkan tahap kesihatan yang baik kerana misi utama kita adalah untuk berwukuf,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |