Empat kali pengsan lihat anak, cucu saudara bergelimpangan atas jalan

1 hour ago 2

KUALA KRAI – Ibu kepada dua beradik yang parah selepas motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah kereta seorang guru di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Machang hari ini pengsan sebanyak empat kali selepas melihat anak-anaknya bergelimpangan di atas jalan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, Muhammad Muskir Rosli, 14 bersama adiknya, Mas Siti Rosnani, 7, termasuk dua anak saudara mereka iaitu Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, mengalami kecederaan parah selepas tercampak ke atas jalan raya.

Kakak kepada Muhammad Muskir dan Mas Siti Rosnani, Mas Asmah,19, berkata, ibunya, Hanita Yusoff, 48, bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat dua anak dan dua cucunya terlibat nahas.

Menurutnya, ibu yang tidak sanggup melihat keadaan adik-adik yang sudah bergelimpangan di atas jalan pengsan sebanyak empat kali sehingga perlu dipapah ke dalam ambulans yang dinaiki Mas Siti Rosnani.

“Saya lihat adik kedua-dua adik saya dalam keadaan kritikal kerana mengalami cedera parah pada anggota badan.

“Dua lagi anak saudara turut mengalami cedera cedera parah pada bahagian paha. Mas Siti Rosnani yang merupakan anak bongsu daripada 14 beradik yang koma sudah dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian kerana keadaannya dilaporkan kritikal,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini hari ini.

Mas Asmah memberitahu, Mas Siti Rosnani pada awalnya tidak ke sekolah hari ini dan mengubah fikirannya selepas dipujuk ibu, namun dia pergi ke sekolah dalam keadaan merajuk.

“Saya tidak menyangka keengganan adik untuk ke sekolah hari ini menjadi petanda kejadian buruk. Mereka berempat pergi ke sekolah setiap hari dengan menunggang motosikal milik ibu saya yang digunakan untuk ke kebun getah.

“Jarak rumah kami di Kampung Berangan Mek Nab, Machang kira-kira enam kilometer untuk ke Sekolah Kebangsaan Kampung Pek dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |