KUALA LUMPUR – Bekas pembantu khas Ahli Parlimen Seputeh, Edmund Teoh Kheng Yaik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu Teresa Kok dan menerima rasuah RM500,000 berhubung perolehan papan pintar interaktif dua tahun lalu.
Bagaimanapun Edmund Teoh, 40, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Tidak mengaku salah,” kata Edmund Teoh.
Bagi kesalahan menipu, tertuduh didakwa telah memperdaya Teresa Kok Suh Sim yang merupakan Ahli Parlimen Seputeh untuk mempercayai bahawa hanya dua buah sekolah di kawasan Parlimen Seputeh yang memohon sumbangan ‘Interactive Smart Board’ sedangkan tertuduh tahu bahawa sebenarnya terdapat 16 buah sekolah yang memohon sumbangan itu.
Perbuatan itu telah telah mendorong Teresa Kok untuk bersetuju supaya tertuduh membuat permohonan bagi sumbangan melalui system My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh, yang mana Teresa Kok tidak akan bersetuju sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh di Jalan Kuchai Lama di sini pada Jun 2024 yang didakwa mengikut Seksyen Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Sementara bagi kesalahan rasuah, tertuduh didakwa menerima suapan iaitu wang tunai RM500,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun yang mana wang itu sebagai upah bagi dirinya.
Ia yang mana tertuduh merupakan pembantu pejabat Ahli Parlimen Seputeh (ketika itu) membantu untuk mendapatkan sumbangan bagi pembekalan ‘Interactive Smart Board’ dan peralatan berkaitan untuk 16 buah sekolah dalam kawasan Parlimen Seputeh oleh syarikat milik isteri lelaki itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Kuchai Lama di sini pada 12 Ogos 2024 yang didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Tertuduh kemudian dibenar diikat jamin RM60,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan serta tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Tarikh 3 Julai ini ditetapkan sebutan semula kes.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam MN Lo. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
7


![[VIDEO] Anak 14 tahun jadi imam solat jenazah, talkin Allahyarham bapa](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-11-at-17.32.08-1.jpeg)





![[VIDEO] Kemalangan NKVE: Pemandu Inspira ditahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-11-at-2.02.26-PM.jpeg)





































