Transformasi Wilayah Agrobank di Pulau Sri Tanjung pacu ekonomi digital

13 hours ago 6

PETALING JAYA – Agrobank semalam melancarkan program transformasi wilayah di Pulau Sri Tanjung, Tumpat bagi mentransformasikan komuniti penjaja tempatan dengan memberi penekanan terhadap penggunaan kod DuitNow QR sebagai kaedah utama pembayaran tanpa tunai.

Kaedah pembayaran digital itu berpotensi menarik lebih ramai pelancong dan mengukuhkan daya tarikan kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan serantau menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Pulau Sri Tanjung adalah salah sebuah destinasi eko-pelancongan yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung, dengan kehadiran 2,000 hingga 3,000 pelancong sehari.

“Ekosistem ekonomi di Pulau Sri Tanjung didominasi oleh aktiviti perniagaan yang berfokuskan kepada penjualan produk makanan yang dijalankan di atas bot-bot terapung.

“Menyedari keperluan untuk memodenkan perniagaan tradisional ini demi pertumbuhan yang mampan, penggunaan kod DuitNow QR Agrobank sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai utama memastikan penyertaan inklusif komuniti luar bandar dalam ekonomi digital.

“Ia menyokong pembangunan ekonomi dengan menyediakan kemudahan pembayaran digital kepada penjaja tempatan, sekali gus menghubungkan komuniti pulau terpencil dengan perkhidmatan kewangan arus perdana dan mengurangkan risiko pengendalian wang tunai,” katanya dalam kenyataan.

Penggunaan kod DuitNow QR Agrobank telah digunakan dalam kalangan penjaja di pasar terapung Pulau Sri Tanjung, Tumpat, Kelantan.

Tambah beliau, menerusi inisiatif tersebut, pihaknya menyasarkan untuk membantu keseluruhan usahawan di Pulau Sri Tanjung yang terdiri daripada 60 orang penjaja bagi membuka akaun perbankan Agrobank.

Jelasnya, inisiatif itu turut memberi manfaat kepada 450 orang nelayan di persisiran pantai yang dapat menikmati kemudahan transaksi perbankan digital.

“Perkhidmatan pembayaran elektronik ini akan memudahkan 1,000 orang penduduk Teluk Renjuna yang meliputi 12 buah pulau di daerah Tumpat, Kelantan.

“Untuk memastikan perkembangan Pulau Sri Tanjung, Agrobank akan melaksanakan beberapa inisiatif berterusan termasuk mengenal pasti dan melantik ejen perbankan tempatan bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan kewangan untuk penduduk setempat.

“Selain itu, Agrobank akan turut menyediakan khidmat nasihat kewangan yang menyeluruh kepada para nelayan, khususnya berkaitan kemudahan pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

“Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa komuniti, Agrobank juga akan menganjurkan sesi khas bersama sekolah-sekolah di sekitar pulau bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan perbankan kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |