
- Oleh KOSMO!
- 8 Ogos 2025, 1:36 pm
PETALING JAYA – Satu kemalangan berlaku di Kilometer (KM) 256.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) dari Ipoh menuju Kuala Kangsar tengah hari tadi menyebabkan semua lorong terhalang dan trafik terhenti sejauh kira-kira lapan kilometer.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam hantaran di Facebook memaklumkan kejadian yang berlaku sekitar pukul 12.39 tengah hari itu, meminta pengguna jalan raya menggunakan laluan keluar di Plaza Tol Ipoh Selatan sebagai pilihan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.
Menerusi rakaman kemera litar tertutup (CCTV) dikongsikan LLM, kemalangan tersebut membabitkan sebuah treler terbalik dan kedudukan kenderaan berat itu melintang di atas lebuh raya.
Menurut LLM, setakat pukul 1.09 tengah hari, pasukan bomba dilaporkan telah berada di lokasi bagi mengendalikan insiden berkenaan.
“Trafik terhenti lapan kilomter. Segala kesulitan ketika ini amatlah dikesali. Rancang perjalanan anda,” pesan LLM. – KOSMO! ONLINE