‘Tiba-tiba banyak lalat, penuh dalam rumah’

15 hours ago 8

TAMPIN – Lebih 100 penduduk di Taman Gemencheh Baru, di sini, merasa terganggu serta rimas dengan kehadiran terlalu banyak lalat sejak lebih dua ming­gu lalu.

Salah seorang penduduk, M J Hilavan, 26, berkata, dia sudah menetap di taman tersebut sejak berusia tiga tahun dan tahun ini sahaja secara tiba-tiba lalat begitu banyak ‘menyerang’ penduduk.

“Bukan hanya di taman ini sahaja ada lalat, ada penduduk di beberapa taman lain di sekitar Gemencheh ini pun ada masalah sama. Lalat banyak sangat sampai masuk dalam makanan,

“Masalah ini tidak dialami oleh saya sahaja tetapi kejiranan yang lain. Rata-rata berasa kesal kerana lalat hinggap di makanan yang boleh menjadi penyebab keracunan makanan,” katanya ketika ditemui di Taman Gemencheh Baru, di sini semalam.

Bagi seorang lagi penduduk, Tham Choi Lin, 70, berkata, masalah ini berlaku baru sahaja setelah mereka tinggal di situ sejak 30 tahun lalu.

“Memang rimas bila tengok lalat terbang hinggap di sofa, lantai jadi. Selain itu, kami juga letak pelekat lalat di dapur, ruang tamu dan lain-lain lagi kerana terlalu banyak dalam tempoh tiga hari ini,” katanya.

Sementara bagi Zunaidah Ibrahim, 46, pula, dia yang menyewa di kawasan perumahan tersebut sejak enam tahun lalu turut ­merasa terjejas bersama jiran-jiran berbilang bangsa.

“Banyak sangat lalat terutamanya bila kita nak masak. Jadi tak selesa serta bimbang termasuk dalam makanan dan air. Malah, baharu sahaja letak kurang setengah jam, pelekat ni dah hampir penuh.

“Jadi saya harap sangat agar pihak bertanggungjawab dapat memantau masalah lalat ini dan mengambil tindakan segera bagi keselesaan penduduk tanpa lalat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh, ­Suhaimizan Bizar berkata, pihaknya sudah mengetengahkan masalah berkenaan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan siasatan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |