SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menegaskan tidak timbul isu darjat dan pilih kasih dalam penentuan harga siling bagi pembinaan dan pembaikian rumah yang rosak di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru susulan tragedi letupan paip gas, sebelum ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terdapat beberapa kategori dengan rumah yang rosak keseluruhannya ditetapkan pada harga siling RM300,000.
Katanya, bagi rumah yang perlu pembaikian kecil adalah sehingga RM60,000 dengan kedua-duanya mempunyai proses tertentu.
“Tiada beza-bezanya lah, kita tetapkan (harga silingnya). Kalau rumah itu kecil kerosakannya di Putra Height tetap harga silingnya RM60,000.
“Jadi, mungkin itu tanggapan liar yang dibuat (sebelum ini),” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa bersama Penyelarasan Industri (JBI) Selangor, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru di sini, berharap kerajaan memperhalusi dan melihat semula harga siling kos baik pulih rumah yang terjejas dalam tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, April lalu.
Pengerusinya, Baharudin Yusof dipetik mendakwa wujud jurang perbezaan harga siling baik pulih rumah di bawah seliaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang mana harga siling baik pulih rumah di Putra Heights ialah RM60,000 sementara RM30,000 bagi Kampung Kuala Sungai Baru menjadikan mereka terkilan dan rasa terpinggir.
Kata Amirudin, pihaknya akan meneliti semula proses kemajuan pembinaan dan pembaikian rumah yang terjejas akibat letupan itu.
“Sebagaimana, saya maklumkan dalam dewan, proses ( rumah siap dalam Oktober (hingga Jun 2027). Memang akan ambil masa sedikit sebab bukan sedikit kerosakannya.
“Tetapi saya akan tengok, kalau dia kata perlahan, saya akan semak balik (kemajuan pembinaan dan baik pulih),” katanya.
Jelasnya, setakat ini perkembangan kemajuan adalah pada tahap 22 hingga 24 peratus seperti dinyatakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini dengan pembangunannya dilaksanakan Syarikat Perumahan Negara Berhad.
“Malahan di Kampung Kuala Sungai Baharu lebih cepat. Mungkin ada suara, kita akan semak realiti berlaku di bawah. Itu hanya pandangan daripada satu Persatuan (sebarang bantuan belum diterima). Saya akan semak.
“(Bagi bantuan bayaran sewa), kita akan teruskan. Saya akan semak dengan Exco Perumahan dalam mesyuarat Jumaat ini. Hari itu, lambat sikit sebab nak dapatkan senarai dan kali untuk sambung tiada masalah. Kita akan cukupkan (bantuan sewa rumah) enam bulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE