PETALING JAYA – Penyanyi cilik yang juga anak kepada pelawak Shuib iaitu Thalita berdepan detik cemas apabila terkena minyak panas ketika membantu ibunya, Watie Hanifiah memasak kelmarin.
Menurut Watie, kejadian tersebut berlaku ketika pemilik nama penuh Dzahira Thalita Zahra, 12, itu membantunya menggoreng kentang dan minyak panas di dalam kuali meletup selepas dipercayai terkena air.
“Kejadian berlaku ketika kami berada di dapur untuk menggoreng kentang buatan sendiri (homemade).
“Kemudian minyak sudah dipanaskan terlampau lama dan ketika mahu mula memasukkan kentang ke dalam kuali, mungkin ada terkena percikan air sebelum meletup.
“Selepas kena, memang meraunglah dan semua yang ada dalam rumah panik sehingga pening cara untuk berikan rawatan awal, cari ubat pun sudah tak jumpa,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Tambah Watie, Talita yang meraung sambil kesakitan sempat mempersoalkan sama ada kejadian tersebut disebabkan pernah melakukan dosa terhadapnya, Shuib atau individu lain.
“Sambil dia meraung, sempat bertanya ‘Thalita ada buat salah atau sakitkan hati mummy dengan daddy atau individu lain ke?’
“Dia asyik berfikir tentang kejadian tersebut dan tertanya-tanya mengapa Allah SWT beri rasa sakit itu kepadanya.
“Bahkan dia juga bertanya dan risau sama ada kesan minyak panas pada mukanya akan membuatkan wajahnya hodoh,” ujarnya.
Sebagai seorang ibu, Watie pastinya berharap Talita segera sembuh dengan cepat.
“Doakan dia cepat sembuh dan kalau ada tips untuk pulihkan kesan melecur disebabkan minyak panas, tolong kongsi,” jelasnya.
Terdahulu, Watie menerusi satu hantaran Instagram mengejutkan ramai apabila memuat naik foto Thalita memaparkan tangan dan wajah Talita yang cedera akibat terkena minyak panas.
Perkongsian tersebut turut mengundang doa ramai yang rata-ratanya mendoakan kesembuhan anak kepada Allahyarham Siti Sarah itu. – KOSMO! ONLINE