Teater Tun Fatimah dedah lokasi kubur srikandi Melaka

18 hours ago 6

PETALING JAYA – Panggung Bangsawan Melaka kembali bernyawa dengan pementasan teater epik Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka.

Pengarahnya, Lokman Ghani berkata, pementasan tersebut tampil dengan pendekatan baharu yang lebih padat dan memberikan ruang buat penonton berehat menghayati cerita sebelum meneruskan babak seterusnya.

“Biasanya persembahan akan bersambung sampai habis. Tetapi kali ini, selepas babak Datuk Bendahara dihukum bunuh, saya bagi jeda di tengah-tengah.

“Saya lakukan ini supaya penonton dapat berehat dan menghayati sebelum masuk ke babak baharu iaitu perkahwinan antara Tun Fatimah dan Sultan Melaka,” katanya.

Tambahnya lagi, jeda masa rehat itu tidak akan dibiarkan kosong tetapi penonton akan dihidangkan dengan dua persembahan nyanyian oleh Datuk Jalaludidin Hassan dan Puja sebagai pengisian.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, teater tersebut mengetengahkan kisah benar sejarah Kesultanan Melayu Melaka mengenai Tun Fatimah, seorang srikandi agung yang hidup dalam zaman gemilang dan kejatuhan Melaka.

Teater Tun Fatimah dipentaskan selama 3 malam berturut-turut sehingga 15 Jun ini.

Watak utama akan digambarkan berdepan dengan pengkhianatan, kehilangan keluarga serta dilema antara cinta dan tanggungjawab.

“Tun Fatimah tampil sebagai simbol kekuatan wanita Melayu, memperjuangkan maruah dan mempertahankan bangsa dengan keberanian dan kecerdikan yang luar biasa,” jelasnya.

Lokman juga menegaskan, objektif pementasan itu bukan sekadar untuk hiburan tetapi sebagai platform pendidikan budaya dan sejarah yang membawa penonton menelusuri peradaban lama Melaka.

“Saya mahu memberi kefahaman kepada orang ramai bahawa ini bukan mitos tetapi kisah benar dan berfakta.

“Malah penonton akan tahu di mana kubur Tun Fatimah yang sebenar pada penghujung persembahan,” ujarnya.

Pementasan yang diterbitkan oleh Boolan Trending dan Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM) itu akan menampilkan barisan pelakon berpengalaman seperti Ashraf Muslim, Neera Azizi, Aziz M. Osman, Radhi Khalid dan Al Jufferi Jamari.

Teater itu turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Melaka melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka (JKKN Melaka) dan MOTAC, membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasa warisan budaya dan sejarah tempatan.

Pementasan Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka dijangka menjadi satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan bagi mereka yang ingin mengenali lebih dekat perjuangan wanita Melayu dalam sejarah dan menyemai semula semangat kenegaraan serta kecintaan terhadap warisan tanah air.

Bermula hari ini, teater berkenaan akan berlangsung selama tiga malam berturut-turut iaitu sehingga 15 Jun ini pukul 8.45 malam di Panggung Bangsawan Melaka. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |