MELAKA – Remaja berusia 17 tahun yang disyaki menikam ibu dan abangnya menggunakan pisau lipat sehingga mati disifatkan sebagai seorang pendiam dan tidak pernah dilihat memarahi mangsa.
Menurut jirannya, Yuliyani Md. Tuin, 34, setiap kali mereka terserempak di hadapan rumah, suspek hanya melemparkan senyuman dan tidak pernah dilihat berada dalam keadaan marah.
“Kalau terserempak bila nak masuk rumah, dia akan senyum sahaja sebab kami memang tak pernah berbual.
“Tak pernah pula nampak dia marah ibu dan abangnya di luar rumah, tetapi kalau waktu malam keluarga ini memang sering bergaduh,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, di sini, malam tadi.
Tambahnya, situasi keluarga itu disyaki mula berubah dan menjadi tegang apabila ayah suspek meninggal dunia pada Januari lalu.
“Sejak berjiran dengan mereka tiga tahun lalu, keluarga ini tidak pernah mendatangkan sebarang masalah kepada kami.
“Tapi selepas ayah mereka meninggal dunia Januari lalu memang selalu lah dengar anak beranak ini bergaduh, tapi tak sangka pula sampai berlaku kejadian bunuh,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang guru wanita dan anak lelakinya ditemui mati dipercayai akibat dibunuh, manakala seorang lagi ahli keluarga itu parah dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai.
Dalam tragedi kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa seorang guru berusia 51 tahun dan anak sulung 21 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu.
Anak bongsu keluarga itu berusia 13 tahun yang terselamat telah ditemui jiran tetangga di kawasan garaj kediaman tersebut.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja yang juga merupakan anak kedua keluarga tersebut berusia 17 tahun selepas disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.
Hasil pemeriksaan di lokasi turut menjumpai senjata iaitu pisau lipat sepanjang 20 sentimeter di dalam beg sekolah milik suspek.
Motif kejadian dipercayai akibat dendam apabila kedua-dua mangsa dikatakan sering memarahi suspek dan memaksanya belajar susulan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysiq (SPM) tahun ini. – KOSMO! ONLINE