‘Tak payah jadi CCTV, fokus jaga anak sendiri sudah’

12 hours ago 7

PETALING JAYA – Serba-serbi tidak kena, pelakon Rozita Che Wan menyelar segelintir netizen yang berterusan mempertikai caranya mendidik anak-anak khususnya si bongsu, Aaisyah Dhia Rana.

Ujar Rozita atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar, 51, setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri membentuk anak-anak tanpa perlu mengikut acuan orang lain.

“Jangan sibuk nak tegur rumah tangga orang kalau diri sendiri pun tak betul. Zaman sekarang ramai yang acah-acah dekat media sosial seolah-olah mereka betul.

“Tegur anak kita kenapa tak macam itu, kenapa tak macam ini. Anak awak, ajarlah ikut cara awak. Anak saya, saya ajar ikut acuan saya.

“Sibuk betul nak atur hidup orang. Awak jaga anak awak, saya jaga anak saya. Masing-masing ada cara sendiri,” katanya dalam TikTok.

Menurut pelakon drama Kiah Pekasam itu, setiap ibu bapa lebih tahu apa yang terbaik untuk anak-anak mereka dan tidak perlu tunduk kepada tekanan masyarakat yang konon ‘terpaling’ sempurna dalam media sosial.

“Zaman sekarang ramai yang terpaling suci, terpaling nombor satu dan terpaling sempurna hidup mereka sampai sibuk nak cerca hidup orang lain.

“Tak payah jadi CCTV hidup orang. Jaga diri sendiri, fokus pada anak sendiri sudahlah,” tegasnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan kenyataan isteri kepada aktor Zain Saidin itu selain menyifatkannya sebagai ibu berprinsip tinggi serta tidak mudah melatah.

“Saya sokong Che Ta. Kita yang lahirkan, kita tahu perangai anak kita macam mana,” tulis seorang pengguna TikTok.

“Saya yang bukan artis pun pernah kena macam ni. Semua benda orang nak komen. Padahal anak sendiri pun belum tentu sempurna,” kata seorang lagi netizen.

“Mulut netizen tak boleh ditutup, biar dia penat bercakap. Kita teruskan hidup,” komen peminay.

Untuk rekod, Rozita mendirikan rumah tangga dengan Zain Saidin pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia 11 tahun.

Terdahulu, Rozita pernah berkahwin dengan Azuar Effendy Zulkafly pada 26 Ogos 1995 dan berpisah pada 8 Mei 2003.

Hasil perkahwinan pertama itu, dia memiliki dua anak lelaki, Ammar Effendy, 29, dan Aniq Ezzra, 27. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |