Syarikat penerbangan dunia gantung penerbangan ke Asia Barat

13 hours ago 5

PARIS – Syarikat penerbangan di seluruh dunia membatalkan penerbangan ke Tel Aviv, Tehran dan destinasi lain di Asia Barat atau mengubah laluan pesawat selepas banyak  ruang udara ditutup berikutan serangan Israel ke atas Iran.

Israel, Iran, Iraq, Jordan dan Syria menutup ruang udara mereka selepas Israel menyerang kemudahan ketenteraan dan nuklear di Iran. Israel berkata, Tehran melancarkan dron dan misil sebagai tindak balas.

Air India mengalihkan atau memanggil semula 16 penerbangan antara India dan London serta bandar-bandar di Kanada dan Amerika Syarikat disebabkan situasi genting tersebut.

Emirates selaku syarikat penerbangan terbesar di Asia Barat, membatalkan penerbangan pergi balik dari Iraq, Jordan, Lubnan dan Iran.

Syarikat penerbangan nasional Qatar, Qatar Airways berkata, pihaknya membatalkan penerbangan ke Iran dan Iraq buat sementara waktu disebabkan situasi semasa.

Air France memaklumkan bahawa ia menggantung penerbangan pergi balik ke Tel Aviv ‘sehingga diberitahu kelak’ berikutan penutupan ruang udara Israel.

“Air France memantau rapi situasi di Asia Barat dalam masa sebenar,” kata seorang jurucakap syarikat penerbangan Perancis itu kepada AFP, sambil menambah, ‘keselamatan pelanggan dan anak kapal adalah keutamaan mutlak Air France.

Syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), Delta Air Lines mengumumkan menghentikan perkhidmatan antara lapangan terbang John F Kennedy New York dan Tel Aviv sehingga 31 Ogos ini sebagai tindak balas kepada konflik berterusan di rantau itu’.

Sebuah lagi syarikat penerbangan AS, United Airlines memaklumkan tentang pembatalan perkhidmatan antara hab Newark, New Jersey dan Tel Aviv.

Di Moscow, pihak berkuasa aviasi, Rosaviatsiya mengarahkan syarikat-syarikat  penerbangan Russia tidak terbang ‘di ruang udara Israel, Jordan, Iraq dan Iran’ atau menggunakan lapangan terbang di Israel serta Iran.

Arahan itu berkuat kuasa sehingga 26 Jun ini atau sehingga diberitahu kelak.

Kumpulan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa menggantung penerbangan ke Tehran sehingga 31 Julai ini. Ia juga melanjutkan penggantungan penerbangan ke Tel Aviv untuk tempoh yang sama.

Syarikat penerbangan Swiss  yang dimiliki Lufthansa  pula menggantung penerbangan pergi balik ke  Tel Aviv sehingga 25 Oktober 2025, manakala penerbangan ke Beirut digantung sehingga akhir Julai ini. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |