Suami Eda Ezrin, tiga lagi rakan sudah dihantar pulang ke Kelantan

1 week ago 13

KOTA BHARU – Suami kepada Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan tiga rakan mereka yang ditahan di Pejabat Imigresen Sungai Golok, Thailand semalam sudah dihantar ke Kelantan pagi ini.

Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang kira-kira pukul 11.15 pagi tadi.

Ahli keluarga salah seorang daripada mereka memaklumkan bahawa keempat-empat rakyat Malaysia itu masih berada di ICQS Rantau Panjang sebelum pihak polis mengambil mereka.

Mereka melalui proses sama seperti Eda Ezrin dan Nur Aida Mamat, 33, selepas dibebaskan semalam apabila mereka dihantar oleh petugas Jabatan Imigresen Sungai Golok kepada pihak polis Kelantan.

Mohd. Affendi, Eridieka, Mohamad Alif Deraman dan Zuhaira kemudian akan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk memberi keterangan.

Kosmo! Online semalam melaporkan, hanya Eda Ezrin dan Nur Aida akhirnya pulang ke pangkuan keluarga masing-masing malam tadi.

Empat lagi rakyat Malaysia, Mohd. Affendi, Eridieka, Mohamad Alif Deraman dan Zuhaira masih ditempatkan di Pejabat Imigresen Sungai Golok, Thailand.

Kedua-dua wanita yang menjalani tahanan selama sembilan bulan di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand itu dibebaskan selepas memberi lebih tiga jam memberi keterangan di Balai Polis Rantau Panjang dekat sini.

Nur Aida keluar dari balai itu sebelum menaiki sebuah kereta keluarganya pada pukul 11.30 malam diikuti Eda Ezrin kira-kira 10 minit kemudian.

Eda Ezrin yang memakai jubah berwarna hitam kelihatan sempat berpelukan dengan ibunya, Zahara Mamat, 47, sebaik sahaja keluar dari pintu balai polis sebelum menaiki sebuah kereta jenis Honda City Hatchback keluarga mentuanya.

Nur Aida pula dijemput oleh keluarganya yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Honda HR-V. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |