KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki negara mempamerkan kebangkitan dramatik sebanyak tiga kali untuk mencatat seri 3-3 menentang Pakistan dalam aksi pembukaan Kumpulan B kempen Piala Negara-Negara FIH 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Dua jaringan sudut penalti (PC) menerusi fliker utama negara, Syed Syafiq Syed Cholan menjadi penyelamat selepas Malaysia ketinggalan 0-2 seawal suku pertama hasil gol padang dan satu PC daripada Pakistan.
Gol pertama negara dijaringkan Fitri Saari menerusi gerakan padang pada suku ketiga sebelum Syed Syafiq menyempurnakan dua PC penting untuk menyamakan kedudukan sebanyak dua kali pada suku keempat.
Ketua jurulatih, Sarjit Singh menyifatkan permulaan perlahan sebagai punca tekanan awal pasukan.
“Kami bermula agak gugup, mungkin sebab perlawanan ditunda dua kali. Tapi bangkit daripada 0-2 dan 2-3, itu bukan mudah. Saya puas hati dengan semangat mereka,” kata Sarjit.
Keputusan seri itu menyaksikan Malaysia sekali lagi gagal menewaskan Pakistan dalam beberapa pertemuan terakhir sejak menang 3-1 dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, Ogos dua tahun lalu.
Secara keseluruhan, Pakistan menang 20 daripada 38 pertemuan sejak Sukan Olimpik Mexico 1968, seri lapan kali dan Malaysia menang lima.
Malaysia bakal menentang New Zealand malam esok dalam aksi kedua kumpulan sebelum melengkapkan pusingan menentang Jepun pada Rabu dengan dua pasukan terbaik kumpulan mara ke separuh akhir.
Sebagai rekod, Speedy Tigers menamatkan kempen Piala Negara-Negara FIH 2022 di tempat keempat sebelum sekadar menduduki tangga ketujuh musim lalu.
Kejohanan kali ini menjadi medan penting untuk memburu tempat ke Liga Pro Hoki Dunia 2025/26, sekali gus menjadi pentas utama buat pemain muda negara mengutip pengalaman menjelang Kelayakan Olimpik akan datang. – KOSMO! ONLINE