Speedy Tigers hanya mahu kemenangan

12 hours ago 6

CABARAN Malaysia pada Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara FIH 2025 akan bermula secara rasmi menjelang aksi sulung Kumpulan B menentang Pakistan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.

Meskipun turun beraksi di laman sendiri, namun kapten Speedy Tigers, Marhan Jalil mengakui ia lebih sukar kerana perlu berdepan tekanan lebih tinggi bagi mencatat keputusan positif.

Dia menggesa rakan sepasukan supaya memberikan segala-galanya selain mengekalkan aksi penuh disiplin sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan sehingga ke penghujung permainan.

Ia juga peluang terbaik buat Speedy Tigers untuk melenyapkan segala kritikan terhadap prestasi semasa mereka sejak kebelakangan tahun ini termasuk tewas kepada Wales dalam aksi pemanas badan terakhir kelmarin.

“Bagi saya, setiap perlawanan memang sentiasa ada tekanan, terutamanya apabila beraksi di laman sendiri. Bagi saya, itu (bermain di laman sendiri) lebih tekanan sebab kita mahu berikan yang terbaik.

“Perlawanan pertama ini sangat penting kerana kita memerlukan kemenangan bagi menaikkan motivasi pemain dan menghidupkan peluang ke separuh akhir. Kami perlu kekalkan disiplin dalam padang,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan di Kuala Lumpur semalam.

Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Pakistan dilihat memiliki kelebihan apabila pernah mencatat 20 kemenangan ke atas Malaysia selain seri lapan kali dan tewas sebanyak lima kali.

Sementara itu, Marhan yang merupakan pemain paling berpengalaman dalam pasukan percaya rakan sepasukan sudah memiliki ramuan terbaik untuk menyekat kemaraan pakar pukulan sudut penalti Pakistan, Sufyan Khan.

Dia turut menegaskan, pemain-pemain Malaysia tidak akan terlalu memberikan fokus terhadap Sufyan kerana menganggap Pakistan pastinya memiliki senjata rahsia yang lain ketika situasi pukulan sudut penalti.

“Kita tahu mereka ada flicker yang bagus tetapi kita kaji juga cara untuk menghalangnya. Kita juga tidak boleh terlalu fokus pada seorang pemain sahaja kerana mereka mungkin ada flicker kedua,” ujar Marhan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |