‘Siapa ‘ponteng’ PLKN, lepas ni kami akan jemput sendiri datang’

14 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Tiada pelatih yang akan terlepas daripada menjalankan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) lebih-lebih lagi jika memberikan alasan tidak munasabah.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Ya’cob Samiran berkata pelatih yang meminta penangguhan atas sebab-sebab tertentu tidak akan terlepas bahkan akan menjalani latihan pada siri seterusnya.

Menurutnya, meskipun PLKN siri 3.0 ini mensasarkan sebanyak 550 pelatih namun sehingga kini hanya 444 pelatih sahaja yang hadir melaporkan diri.

“Selebihnya yang tidak hadir memang ada masalah kesihatan disahkan oleh pakar perubatan. Jadi mereka terpaksa tarik diri sebab kita pun tidak mahu ambil risiko itu.

“Tetapi siapa yang beri alasan penangguhan tidak munasabah, tetap kena pergi. Tangguh-tangguh takkan umur 35 baru nak datang. Kita sendiri akan pergi pada mereka, bersua muka dan jemput hadir ke kem siri akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Latihan Menembak (Wiramuda Wanita) Kem 515 Siri 2/2025 di Lapang Sasar Kem Sungai Besi, di sini hari ini.

Dalam program hari ini, pihak media turut diberikan kesempatan merasai pengalaman menembak menggunakan senapang jenis M16 dari jarak 25 meter.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, JLKN memberi peringatan tegas kepada individu terpilih sebagai pelatih PLKN 3.0 Sesi 2/2025 untuk melapor diri di kem yang ditetapkan sebelum pukul 12 tengah hari pada 16 Mei lalu.

Katanya, pelatih yang gagal mematuhi arahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata, faktor kesihatan dan terikat dengan pekerjaan merupakan antara punca yang menyebabkan pelatih gagal melapor diri.

Mengulas lanjut, Ya’cob berkata sememangnya ada di antara pelatih terpaksa menarik diri daripada program latihan kerana mendapat surat tawaran menyambung pengajian.

“Ada juga yang dapat tawaran ke tingkatan enam, secara sukarela tanggung dulu kemasukan. Maksudnya lepas tamat PLKN baru mereka daftar belajar semula.

“Bagi pelatih yang dapat tawaran kerja pun, kita benarkan mereka hadiri temuduga kemudian datang kembali semula jalani latihan. Maksudnya tiada alasan untuk tidak hadir, dah dapat surat tawaran, wajib datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |